Tarik tali kerajaan sementara dan gelanggang adil


G Manimaran

NEGARA telah menyaksikan lebih 40 pilihan raya umum (PRU), kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri sejak PRU pertama pada 1959, dan puluhan pilihan raya kecil.

Di peringkat awal sejarah pilihan raya, isu-isu berkaitan status kerajaan sementara tidak pernah timbul. Tidak menjadi antara isu pokok apabila membicarakan tentang soal integriti dan persaingan saksama. Malah istilah kerajaan sementara juga tidak mendapat perhatian. 

Bagaimanapun susulan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan pilihan raya dan keperluan pilihan raya dikendalikan dengan adil, saksama dan telus serta profesional, desakan supaya digubal garis panduan, dasar dan konvensyen mengenai kerajaan sementara semakin mendapat perhatian.

Tuntutan dan keperluan ke arah itu tercetus sejak awal 1980-an. Ia terus kekal menjadi perhatian ketika PRU 1999 dan semakin mendapat perhatian kebelakangan ini, terutama sejak empat tahun lepas dan kemudian ketika pilihan raya kecil-pilihan raya kecil yang menyusul – sama ada di peringkat persekutuan mahupun di negeri-negeri yang ditadbir parti bukan kerajaan persekutuan.

Bermakna ia sudah muncul sebagai satu isu penting dalam setiap pilihan raya dan tidak kira negeri.

Isu terbuka untuk perbincangan semua pihak. Sama seperti isu keperluan mewujudkan undang-undang melarang lompat parti. 

Lebih tiga dekad lalu ia adalah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan, dan dikatakan mustahil untuk digubal. Hari ini, ia akhirnya menjadi kenyataan.

Sudah pasti isu akan keperluan mengadakan undang-undang berkaitan kerajaan sementara akan menjadi perhatian sepanjang tempoh berkempen PRU15, yang bakal berlangsung dalam waktu terdekat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya esok.

Sebenarnya perkara itu sudah pun menjadi satu polemik sejak pembubaran Parlimen diisytiharkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober
 lalu. 

Persoalan pertama ditimbulkan apakah status kerajaan semasa dan barisan anggota Kabinet. Adakah mereka termaktub di bawah skop kerajaan sementara dan jika ya, apakah kriteria yang diguna pakai.

Sehari selepas pengumuman pembubaran Parlimen, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, Mesyuarat Khas Bersama Ketua Setiausaha/Ketua Pengarah antara lain telah membincangkan peranan dan fungsi kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu terbentuk melalui proses pilihan raya. 

Perbincangan itu juga, katanya, “merangkumi prosedur dan panduan pengurusan keselamatan pejabat anggota pentadbiran dalam tempoh “kerajaan caretaker”. 

Kenyataan itu tidak menjelaskan prosedur dan panduan pengurusan keselamatan pejabat anggota pentadbiran dalam tempoh “kerajaan caretaker”, tetapi ia antara perkara penting yang terangkum apabila dibicarakan mengenai status kerajaan sementara semasa tempoh “jurang ketiadaan kerajaan penuh”.

Mengapa garis panduan, dokumen bertulis dan konvensyen mengenai kerajaan sementara diperlukan? Mengapa ia penting dalam menguruskan pilihan raya?

Banyak negara demokrasi mempunyai peruntukan khusus sama ada secara bertulis ataupun sebaliknya mengenai kedudukan kerajaan sementara.

Misalnya, Australia mempunyai dokumen bertulis, yang dikenali sebagai Garis Panduan Mengenai Konvensyen Kerajaan Sementara di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kabinet. 

Dokumen itu dengan jelas menyatakan secara rasmi komposisi kerajaan sementara, perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan serta prosedur yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan sementara dalam menjalankan fungsinya. 

Antara perkara yang diberi penekanan adalah keputusan polisi negara, pelantikan jawatan penting serta kontrak baharu.

Ia menambah, sekiranya terdapat keperluan untuk membuat keputusan, pihak pembangkang perlu dirujuk sebelum keputusan tersebut hendak dilaksanakan. 

Malah, dokumen itu turut menekankan perkara berkenaan neutraliti badan kerajaan, penggunaan premis kerajaan dan perkongsian maklumat dalam urusan pilihan raya.

Di Kanada pula kerajaan sementara semasa pilihan raya dipandu berdasarkan Manual Kabinet.

Semasa tempoh pembubaran Parlimen, kerajaan sementara masih di bawah bidang kuasa kerajaan yang memerintah. 

Garis panduan di United Kingdom pula berdasarkan kepada keputusan Konvensyen dan dimasukkan dalam Manual Kabinet manakala Bangladesh mempunyai peruntukan yang diletakkan di bawah Perlembagaan Bangladesh. 

Begitu juga di New Zealand yang bersandarkan kepada “Caretaker Conventions” dan dimasukkan dalam Manual Pejabat Kabinet.

Kesinambungan pentadbiran amat penting bagi memastikan kestabilan sesebuah negara.

Oleh itu, apabila Dewan Perundangan (Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) dibubarkan untuk memberi kuasa bagi PRU, kini kita berhadapan dengan PRU15, perlu ada kerajaan sementara untuk terus mentadbir negara sebelum kerajaan yang baharu dibentuk. 

Ia dilihat penting ketika PRU15 diramal akan ada banjir dan memerlukan tindakan menyeluruh untuk menangani masalah itu, sekali gus mengelakkan isu-isu yang wujud ketika bencana bah akhir tahun ini. 

Dalam tempoh berkenaan, kerajaan sementara hanya menjalankan fungsi berkaitan hal-hal pentadbiran dan tidak boleh terlibat membuat dasar-dasar baharu.

Amalan ini dilaksanakan di kesemua negara demokrasi maju. 

Apabila Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan, sudah menjadi amalan di Malaysia kerajaan yang memerintah akan terus mentadbir negara atau negeri sehingga tertubuhnya kerajaan baharu selepas selesai pilihan raya. 

Dalam konteks ini, didapati Malaysia tidak mempunyai kerangka dan peruntukan undang-undang serta peraturan urusan berhubung dengan pelaksanaan kerajaan sementara. 

Akibatnya kerajaan terdahulu sama ada di peringkat persekutuan atau negeri yang menjadi kerajaan sementara akan meneruskan fungsi dan tanggungjawabnya sama seperti sebelum pembubaran Dewan Perundangan. 

Keadaan inilah menyebabkan kerajaan sementara terus terlibat meluluskan peruntukan atau projek baharu, membuat perjanjian atau kontrak, urusan tender baharu, menyediakan dasar-dasar baharu, penggunaan kakitangan awam dan jentera kerajaan untuk tujuan parti dan kempen politik dan sebagainya.

Di sesetengah negara kerajaan yang memerintah tiada kuasa untuk menerajui kerajaan selepas Dewan Perundangan dibubarkan. Kuasa, kemudahan dan kebebasan mereka dihadkan.

Sebaliknya, kuasa itu diserahkan kepada ketua setiausaha negara ataupun badan pengurusan pilihan raya.

Daripada segi kaca mata masyarakat, terutamanya parti-parti politik pembangkang, amalan dan tindakan kerajaan sementara di negara ini bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Ia dilihat sebagai tidak adil dan menyalah guna kuasa demi kepentingan parti politik dan kerajaan. 

Ini kerana penyalahgunaan kuasa jentera serta aset milik kerajaan seperti kenderaan darat, laut, udara dan premis-premis, kemudahan awam serta penjawat awam dalam urusan kempen pilihan raya tidak sepatutnya berlaku.

Kita perlu mengakui apa sahaja kewangan yang dibelanjakan untuk kepentingan parti politik tertentu dan individu tertentu, ia dibiayai daripada wang dana awam, yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk tujuan politik kepartian.

Oleh itu, sudah tiba masa bagi negara ada satu kerangka kawalan pentadbiran dan kewangan yang harus dipatuhi oleh kerajaan sementara bagi memberi dan dilihat memberi keadilan kepada semua pihak berkepentingan semasa musim pilihan raya.

Selain itu, kita juga perlu mengadakan tataetika bagi memberi panduan dan mengawal tindakan pihak Eksekutif atau anggota Kabinet dan Exco sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung. 

Panduan itu harus menetapkan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan sementara, bermula dari tarikh pembubaran Parlimen dan DUN sehingga tarikh pembentukan kerajaan yang baharu. 

Selain itu, garis panduan terbabit boleh menggariskan penetapan keputusan dasar atau apa-apa perkara dalam keadaan darurat untuk kepentingan negara seperti keadaan yang mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam dan yang menjejaskan kedudukan ekonomi negara, termasuklah apabila dilanda bencana banjir. 

Selain itu, garis panduan terbabit juga harus memperincikan peranan ahli Jemaah Menteri atau anggota pentadbiran kerajaan sementara, kemudahan dan aset yang boleh digunakan oleh mereka  ketika musim pilihan raya dan ketika tempoh berkempen. 

Secara umumnya garis panduan, SOP atau manual kerajaan sementara harus menjelaskan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara bermula dari tarikh pembubaran Parlimen dan DUN sehingga tarikh pembentukan kerajaan yang baharu; mereka tidak boleh membuat keputusan atau meluluskan dasar utama, membuat pelantikan seseorang ke jawatan penting walaupun beliau berkelayakan dan membuat apa-apa kontrak baharu.

Memandangkan kita terlalu terikat kepada kewujudan kerangka perundangan dalam memastikan kepatuhan, maka manual atau garis panduan diperlukan untuk memastikan status kerajaan sementara benar-benar membawa hasil. 

Jika tidak, kita akan bermain “tarik tali” seperti dalam soal penggubalan undang-undang antilompat parti dan dana politik. – 19 Oktober, 2022.     

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen