5 kumpulan fail semakan kehakiman berhubung ceramah kontroversi Ustaz Syakir Nasoha


Ravin Palanisamy

Sebuah parti politik dan empat kumpulan masyarakat sivil hari ini memfailkan semakan kehakiman terhadap agensi penguat kuasa kerana gagal mengambil tindakan terhadap Ustaz Syakir Nasoha berhubung ceramahnya yang dikatakan memburukkan orang bukan Islam. – Gambar Youtube, 18 Oktober, 2022.

SEBUAH parti politik yang berpangkalan di Sarawak dan empat kumpulan masyarakat sivil telah memfailkan semakan kehakiman terhadap agensi penguatkuasa undang-undang kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap pendakwah kontroversi Ustaz Syakir Nasoha.

Walaupun mengeluarkan kata-kata memburukkan orang bukan Islam di negara ini dalam dua video berasingan, tiada tindakan diambil terhadap Syakir Nasoha.

Pemohon yang memfailkan semakan itu ialah Presiden Parti Bangsa Dayak Sarawak Bobby William, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia S Shashi Kumar, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak Ng Kim Ho, Naib Presiden Bekas Pelajar Sekolah Cina Chan Tuck Loong dan Presiden Pertubuhan Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam K Sri Ramesh.

Video pertama Syakir tular di media sosial pada 2017, manakala yang kedua disiarkan di YouTube dua tahun lepas.

Mereka menuntut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan polis dan peguam negara (AG) yang, menurut mereka, enggan bertindak terhadap Syakir berhubung kenyataan yang dibuat di sebuah masjid di Bakar Arang di Sungai Petani pada 16 Disember 2017, yang dirakam dalam video pertama.

Mereka juga berkata video kedua yang dimuat naik ke YouTube pada 20 Oktober 2020 telah menyebabkan orang bukan Islam marah terhadap Syakir.

Kesemua pemohon menuntut perintah mandamus bagi memaksa pihak berkuasa bertindak terhadap pendakwah itu.

Kelima-lima mereka, yang memfailkan permohonan itu melalui peguam cara mereka Tetuan Gunaseelan & Associates bulan lepas, turut mahukan mahukan pengisytiharan keengganan mengambil tindakan terhadap Syakir adalah menyalahi undang-undang dan satu bentuk salah guna kuasa di pihak polis dan peguam negara.

Permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 November.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mendakwa pendakwah itu.

Keputusan itu dimaklumkan Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam sepucuk surat kepada sebuah pertubuhan masyarakat yang melancarkan kempen membuat laporan polis terhadap Syakir.

Dalam surat bertarikh 17 Jun, 2022 itu, polis memberitahu arahan Pejabat Peguam Negara kepada mereka untuk tidak melanjutkan perkara itu. Mereka dimaklumkan isu berkenaan difahami di luar konteks dan rakaman video berkenaan tidak menyentuh sensitiviti agama di negara ini.

Pada 3 Oktober, kira-kira 3,000 laporan polis dikatakan akan dibuat di seluruh negara terhadap Syakir berhubung video tular yang memperlekehkan agama bukan Islam dan juga masyarakat Dayak, kata Persekutuan Hak Asasi Manusia Global.

Dalam video seminit yang tular di media sosial sejak Jumaat, Syakir memetik hadis yang beliau terjemahkan berbunyi: “akhir zaman nanti, musuh-musuh Islam akan mengerumuni kamu sebagaimana orang mengerumuni talam yang penuh dengan makanan, berebut hendak makan.”

Beliau juga mendakwa umat Islam di Thailand dan India masing-masing dibunuh oleh penganut Buddha dan Hindu, yang katanya juga ada di negara ini.

Syakir juga membuat kenyataan yang menyinggung masyarakat Dayak apabila mendakwa mereka merogol dan menyembelih umat Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.

Syakir berkata ceramahnya disalah faham. – 18 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen