Buku agama Islam kita tidak mendidik masyarakat?


Mohd Syazreen Abdullah

DI Malaysia, buku agama Islam tidak banyak mendidik pemikiran masyarakat. Sebaliknya mudah terikut-ikut pada telunjuk dan cita rasa minda masyarakat beragama majoriti. Dalam soal buku agama, kita tidak punya pelbagai pilihan. 

Contohnya masyarakat kita lebih suka menumpukan jawapan Islam A berbanding pada jawapan Islam B dan Islam C. Sedangkan dalam agama Islam ada banyak pilihan jawapan. Dari A sehingga Z. 

Penerbit buku agama Islam terpaksa akur dengan selera budaya beragama masyarakat majoriti yang telah dididik selama ini pada keterbatasan pilihan seperti Islam A sahaja. sekali gus mempengaruhi pemikiran beragama. Demi tuntutan pasaran dan ekonomi, sebahagian kita terpaksa akur.

Berikutan itu, penerbit buku-buku agama Islam sukar untuk menerbitkan buku-buku agama Islam kritis selain buku Islam A.

Pemikiran beragama banyak dipengaruhi dari perspektif binari. Seolah-olah tidak wujud kepelbagaian. Kerana itu Islam B sehingga Islam Z bukan pilihan masyarakat.

Demikian corak dan budaya masyarakat beragama menentukan kehendak buku-buku agama yang ada di pasaran. 

Akhirnya kita bertuhankan kehendak pembaca masyarakat Melayu Islam yang kuat beribadah tetapi mengamalkan budaya Islam konservatif.

Benar, majoriti masyarakat Melayu Islam kita memang kuat beragama. Mereka sanggup habiskan duit membeli buku agama.

Malangnya mereka tidak dididik dimensi Islam yang luas dan universal. Kepelbagaian hukum dan keyakinan tidak dibudayakan dalam kehidupan beragama pada hari ini. 

Justeru, buku Islam yang bagaimana mewarnai minda masyarakat Melayu Islam hari ini? 

Isu ranting

Bayangkan, sudah puluhan juta dilaburkan saban tahun tetapi pengetahuan keagamaan kita terbantut.

Kita tidak mahu belajar perkembangan literasi negara maju. Sedangkan perkembangan pemikiran keislaman kita masih di takuk lama dan jauh dari manusiawi. 

Soalnya ke manakah hala tuju pelaburan buku-buku agama sehingga bukan kemajuan diraih tetapi semakin subur budaya konservatif, takfiri, kekerasan, dan ekstremis dalam beragama hari ini ?

Apakah kualiti minda pembaca masyarakat kita mahu dinilai dengan kuantiti membeli berbanding membangun kualiti pemikiran progresif?

Realitinya, buku-buku agama di Malaysia dibazirkan dengan sekadar menukar kulit buku mengikut peredaran pemasaran dan kehendak semasa pembaca sehingga mengabaikan wacana-wacana gentir yang wujud dalam permasalahan sosial hari ini. 

Buku-buku agama masih berlegar hal-hal yang lama. 

Jujurnya kita masih tidak serius untuk melakukan kerja-kerja kemanusian melalui jalan literasi. 

Akhirnya dimensi Islam bagi sebahagian pandangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia menjadi sempit dan dibutakan daripada melakukan kerja-kerja kebudayaan melawan kezaliman, menyantuni kemanusiaan dan melawan kekerasan.

Sebaliknya, sebahagian masyarakat kita lebih serius bercakap soal Islam takfiri, bidaah, wahabi, asyairah, hadis doif, soal kubur dan Khilifah Islam.

Begitulah setiap tahun kita membazirkan masa dan tenaga mengenai perkara ranting tidak penting dan khilafiah.

Progresif

Cuba kita lihat dan belajar daripada kerja-kerja literasi di negara jiran kita, Indonesia. Perlawanan konservatisme dan pemikiran sempit beragama di sana telah dilunakkan dengan usaha kerja-kerja literasi dan penerbitan buku-buku Islam progresif.

Lihatlah di sana, terdapat para kiyai dan agamawan punya kesedaran dalam mendidik umat melalui penulisan Islam kritis.

Mereka menulis soal penindasan, kekerasan dan kezaliman. Mereka melawan soal patriarkisme, membangun soal keadilan, kebebasan dan toleransi beragama. 

Di sana ada Kiyai Husein Muhammad yang banyak menulis soal agama ramah, membela perempuan dan pluralisme.

Seorang agamawan seperti Syafiq Hashim menulis soal kebebasan dari patriarkisme Islam.

Tokoh-tokoh Islam seperti Abdurrahman Wahid (Gus Dur) banyak menulis soal kebudayaan seperti dalam bukunya Islam Kosmopolitan. Begitu juga tokoh-tokoh agamawan lain yang banyak menyumbang pemikiran progresif melalui penulisan. 

Buku-buku mereka dibekalkan dan dibaca di seluruh dunia. Sementara itu, buku-buku agama Islam kritis dibekalkan di kedai-kedai buku.

Rumah penerbitan rancak membangun menerbitkan buku-buku progresif demi memperbudayakan nilai-nilai manusiawi dalam masyarakat.

Kerana itu projek literasi dan dialog buku-buku agama Islam kritis sentiasa mekar hidup subur di sana. Gerakan mendidik masyarakat dilakukan dan digerakkan secara kolektif.

Sebaliknya kita di Malaysia?

Apakah ada agamawan kita serius menulis dan bercakap soal kemanusiaan, kebebasan dan toleransi sepertimana yang dilakukan oleh para kiyai di Indonesia ? 

Di manakah buku-buku agamawan kita tentang soal ini? Nilailah sendiri.

Ditambah, tidak banyak buku-buku agama Islam kritis di Malaysia dalam Bahasa Melayu. Sekiranya pembaca tidak mahir dalam bahan bahasa Inggeris, mereka terpaksa mencari bahan bacaan Islam kritis dalam bahasa Indonesia.

Betapa mundur perkembangan buku agama kita sehingga begitu sukar untuk temukan buku-buku Islam progresif.

Tidak seperti buku-buku agama Islam kritis di Indonesia di bawah terbitan LKIS, Mizan, Turos, Alif.ID dan lain-lain. Projek literasi membangun kebudayaan dan keagamaan yang moderat serta manusiawi semakin rancak diusahakan.

Melawan arus

Kenapakah kita di Malaysia tidak mampu mencontohi mereka?

Tidak dinafikan mereka juga mempunyai cabaran dan tentangan dari kelompok konservatif tetapi masih punya ruang kebebasan dalam berkarya. Kerana itu karya mereka sentiasa berkembang termasuk kerja-kerja terjemahan.

Sesekali tidak di Malaysia. 

Mungkin dahulu kita mempunyai sejarah rumah penerbitan kritis seperti Middle Eastern Graduates Centre dan Institut Kajian Dasar yang banyak menerbitkan dan membekalkan bahan-bahan melawan arus dan dogma arus pemikiran konservatif. 

Buku-buku mengenai kebebasan, toleransi, dan pluralisma diterjemahkan. Kepelbagaian pandangan kritis dalam agama Islam dipersembahkan melalui tulisan-tulisan Ali Abd Raziq, Khaled Abou Fadl, Ibn Arabi, Abdullah Ahmed an-naim, Tahir alwani dan lain-lain.

Namun, tentangan demi tentangan daripada puak konservatif dan penguasa yang menjadi polis syariah itu telah membantutkan usaha-usaha progresif.

Misalnya buku Islam dan Pluralisme terbitan MEGC telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Begitu juga fenomena buku-buku melawan dogma keagamaan yang sempit lain diharamkan seperti tulisan-tulisan progresif Faisal Tehrani.

Kesannya, lihatlah fenomena di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini. Rumah penerbitan Islam kritis di Malaysia tidak banyak untuk ditawarkan kepada pembaca buku Bahasa Melayu.

Meskipun ditenggelami lautan buku-buku islamik arus semasa, masih terdapat kedai buku yang membekalkan bahan bacaan kritis. 

Kita harus puji usaha kedai-kedai buku mandiri seperti Kedai Buku Rakyat, Pelita Dhihin dan Gerak Budaya yang masih menjual dan membekalkan buku-buku Islam kritis lagi manusiawi.

Namun begitu, bekalan-bekalan di kedai buku masih kurang. Sehingga kini, rumah penerbitan yang menerbitkan buku-buku Islam kritis tidak tumbuh subur seperti suburnya di Indonesia. 

Mungkin kita harus sedar diri budaya perkembangan Islam di Malaysia yang tidak ramah, toleransi dan membangun kerana kerja-kerja literasi kemanusiaan Ini diabaikan dan tidak dipandang serius. 

Faham, pada masa sama kita harus berpijak di bumi bahawa faktor ekonomi dan kuasa pasaran itu sebenarnya telah memusnahkan hasrat kerja-kerja kemanusiaan tersebut.

Kita tidak punya pilihan.

Seandainya kita tidak berani mengubah kepincangan pemikiran ini, sampai bila-bila masyarakat kita terus mundur dalam soal pemikiran keagamaan.

Kita harus jujur dengan ilmu dalam mendidik masyarakat. 

Biarlah kita menang di dunia dan akhirat. Jangan semata-mata untung duniawi, merana di akhirat! – 17 Jun, 2022.     

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen