Pengarang AS Noah Gordon meninggal dunia


Pengarang Noah Gordon yang terkenal dengan The Physician dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 95 tahun di rumahnya. – Gambar EPA, 23 November, 2021.

PENGARANG Amerika Syarikat (AS) Noah Gordon, 95, yang terkenal dengan novel “The Physician”, meninggal dunia pada Isnin, kata keluarganya.

“Dengan kesedihan yang mendalam, keluarga Noah Gordon mengumumkan Noah meninggal dunia pada 22 November 2021 di rumahnya,” kata ahli keluarganya dalam satu kenyataan di laman web rasminya.

“Noah baru-baru ini menyambut hari lahirnya yang ke-95 dengan penuh kegembiraan, menghargai umur panjang yang telah dilaluinya.”

Dilahirkan pada 11 November 1926 di Worcester, Massachusetts, Gordon dibesarkan oleh keluarga Yahudi.

Beliau pada mulanya belajar perubatan, seperti yang dituntut ibu bapanya, namun beralih kepada kewartawanan selepas satu semester.

Mendiang mula bekerja di akhbar Boston Herald pada 1959 dan seterusnya menjadi ketua pengarang majalah Science.

Gordon kemudiannya beralih kepada kewartawanan bebas dan terus mengarang artikel sains selain novel.

Buku pertamanya, “The Rabbi,” diterbitkan pada tahun 1965 dan menggunakan pengalamannya membesar sebagai Yahudi-Amerika. Buku kedua beliau, “The Death Committee,” terbit empat tahun kemudian.

Kejayaan terbesarnya muncul pada 1986 dengan “The Physician,” siri pertama dari trilogi Cole. Berlatarkan abad ke-11, siri ini mengikuti protagonis Robert Jeremy Cole dari zaman kanak-kanaknya di England hingga hidup di Eropah dan pengajiannya di kolej perubatan di Isfahan—kini Iran—tempat beliau belajar dengan doktor hebat Ibnu Sina.

“The Shaman” (1992) dan “Matters of Choice” (1995) melengkapkan trilogi.

Gordon menerbitkan novel terakhirnya, “The Winemaker,” pada 2012. Ia berlatarkan Catalonia, Sepanyol pada penghujung abad ke-19 semasa Perang Carlist.

“Kehidupan dan kerja Noah telah menyentuh kehidupan berjuta-juta pembaca di seluruh dunia,” kata keluarganya dalam kenyataan mereka. 

“Karyanya terus hidup.” – AFP, 23 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen