Pengarang lagenda Wilbur Smith meninggal dunia


Dengan 49 gelaran di bawah namanya, Wilbur Smith menjadi terkenal dengan kisah pengembaraannya yang menarik pembaca dari pulau tropika ke hutan Afrika dan juga Mesir Purba dan Perang Dunia II. – Gambar EPA, 14 November, 2021.

PENGARANG terkenal di peringkat antarabangsa Wilbur Smith, 88, meninggal dunia di rumahnya di Afrika Selatan pada Sabtu selepas lebih setengah abad mencengkam nurani pembaca seluruh dunia, kata pejabatnya.

Dengan 49 gelaran di bawah namanya, Smith menjadi terkenal, kisah pengembaraannya yang menarik membawa pembaca dari pulau tropika ke hutan Afrika dan juga Mesir Purba dan Perang Dunia II.

“Pengarang terlaris dunia Wilbur Smith meninggal dunia secara mengejut petang ini di rumahnya di Cape Town selepas sesi rutin membaca dan menulis bersama isterinya Niso di sisinya,” kata kenyataan yang dikeluarkan di laman web Wilbur Smith Books serta penerbitnya Bonnier Books UK.

“Pakar dalam penulisan pengembaraan yang tidak dapat dipertikaikan dan tidak dapat ditandingi, novel Wilbur Smith telah mencengkam pembaca selama lebih setengah abad, menjual lebih 140 juta salinan di seluruh dunia lebih daripada 30 bahasa.”

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian.

Novel sulungnya pada 1964 “When the Lion Feeds”, mengisahkan tentang seorang pemuda yang membesar di kawasan penternakan lembu Afrika Selatan, cepat menjadi laris dan membawa kepada 15 siri, menjejaki kekayaan keluarga yang bercita-cita tinggi selama lebih 200 tahun.

Dilahirkan di Zambia pada 1933 dalam keluarga British, beliau juga seorang pemburu haiwan besar, setelah dibesarkan dengan pengalaman di hutan, bukit dan savana Afrika di ladang ibu bapanya.

Beliau juga memegang lesen juruterbang dan merupakan seorang penyelam skuba.

Beliau kerap memuji ibunya kerana mengajarnya mencintai alam semula jadi dan membaca, manakala bapanya—seorang yang ketat—memberinya senapang pada usia lapan tahun, permulaan apa yang beliau akui sebagai hubungan cinta sepanjang hayat dengan senjata api dan memburu.

Beliau pernah dijangkiti malaria serebrum ketika berusia setahun setengah—penyakit yang sangat serius sehingga dikhuatiri akan mengalami kerosakan otak jika beliau terselamat.

“Ia mungkin membantu saya kerana saya fikir anda perlu sedikit gila untuk cuba cari rezeki daripada menulis,” katanya kemudian.

“Siri Courtney” terlarisnya adalah yang paling lama diterbitkan dalam sejarah penerbitan, menjangkau generasi dan tiga abad, “melalui tempoh kritikal dari kolonial Afrika hingga Perang Saudara Amerika, dan ke era apartheid di Afrika Selatan,” kata penerbitnya. – AFP, 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen