Bekalan telur kurang di pasaran, kerajaan beri amaran keras kepada pengeluar


Nanta ketika meninjau pasar raya Segi Fresh di Batu Caves hari ini. – Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi, 16 Oktober, 2022.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sementara Alexander Nanta Linggi memberi amaran keras kepada semua pengeluar telur untuk memastikan bekalan telur untuk pasaran domestik dipertingkat.

Menurutnya dalam tinjauan ke pasar raya Segi Fresh di Batu Caves hari ini, beliau dapati ada masalah bekalan telur dan perkara itu turut disahkan pemilik pasar raya yang menyatakan bekalan komoditi itu sukar didapati ekoran tindakan pengeluar mengeksport telur gred kawalan iaitu gred A, B dan C ke luar negara.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalankan tanggungjawabnya dalam menyediakan dan menaikkan subsidi kepada penternak daripada tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran meningkat yang memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.

“Subsidi yang diberikan kepada penternak ini juga bertujuan memastikan harga kepada pengguna kekal pada harga siling ditetapkan kerajaan untuk telur gred A, B dan C,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata walaupun penyaluran subsidi, urusan pengeluaran dan bekalan telur tertakluk di bawah bidang kuasa MAFI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa bekerjasama dengan MAFI serta agensi terlibat bagi memastikan kebajikan pengguna terjaga. 

Nanta berkata pengeluar hendaklah berintegriti dan menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang dipersetujui dalam beberapa siri perbincangan yang diadakan selepas subsidi tambahan diberikan kepada mereka.

Mengenai bekalan barangan menjelang sambutan Deepavali beliau berkata bekalan barangan seperti ayam, sayur minyak dan sebagainya dilihat memuaskan dengan harga jualan mematuhi harga maksimum ditetapkan kerajaan.

Nanta berkata senarai harga dan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali serta tempoh kawalan akan diumumkan kelak.

“Harga ditetapkan adalah munasabah berdasarkan data pergerakan harga barang yang dikumpul secara berterusan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan Bahagian Harga Barang Negara berserta input daripada pemain industri dan agensi berkaitan,” katanya. – Bernama, 16 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen