Penternak bingung bekalan ayam berlebihan


Khoo Gek San

Pada masa ini terdapat lebihan bekalan ayam di pasaran, berikutan langkah campur tangan kerajaan untuk menstabilkan bekalan, kata menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

KETIKA ini lebihan bekalan ayam di pasaran membuatkan penternak berada dalam keadaan berteka-teki berikutan jumlah pembeli yang berkurangan, kata penternak.

Mereka berkata kini mereka mampu menternak ayam selama 45 hari berbanding 38 hari yang mereka buat ketika bekalan ayam kurang beberapa bulan lepas.

Ketika bekalan kembali normal sekarang ini, permintaan pula rendah malah diburukkan lagi dengan larangan eksport yang dilaksanakan.

Ahli Persatuan Penternak Ayam Kecil dan Sederhana Johor Lau Ka Keng berkata bekalan kembali normal bulan ini selepas mengalami kekurangan pada Julai.

“Selepas menerima subsidi daripada kerajaan, penternak meningkatkan pengeluaran dengan apa sahaja tenaga kerja yang mereka ada,” kata Lau kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, dengan permintaan rendah di pasaran sekarang, penternak berhadapan masalah lain pula, katanya.

“Kami rugi untuk setiap ayam yang kami ternak. Permintaan tidak meningkat tetapi harga makanan terus naik,” katanya.

Malah semasa sambutan Hari Raya Haji permintaan adalah rendah, katanya.

Walaupun permintaan untuk telur turut menurun, namun tidak ada lebihan bekalan.

Seorang lagi penternak yang tidak mahu dikenali berkata permintaan yang rendah bermakna berat ayam kini bertambah, mencapai sehingga 4kg, tetapi hanya boleh dijual untuk pemprosesan makanan.

“Kekurangan itu bukan disebabkan penternak kurangkan pengeluaran sebaliknya disebabkan ekonomi dibuka.

“Apabila orang ramai dibenar keluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), permintaan juga meningkat kerana kuasa beli meningkat, jadi secara semulajadi permintaan untuk ayam juga meningkat,” katanya.

Penternak berkata permintaan yang rendah bermakna berat ayam kini bertambah, mencapai sehingga 4kg, tetapi hanya boleh dijual untuk pemprosesan makanan. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2022.

Beliau juga bersetuju permintaan yang rendah menyebabkan penternak susah.

“Harga ayam jatuh kepada RM6 sekilogram pada satu ketika tetapi harga makanan terus meningkat. Macam mana kami tak rugi?”, soalnya.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata terdapat bekalan tetap di pasar raya itu dengan harga meningkat 30 sen minggu ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Pudu Kuala Lumpur Lim Kin berkata bekalan di pasar basah mencukupi dengan berat ayam secara puratanya seberat antara 2.5kg dan 2.6kg.

“Sebelum ini apabila kita tempah 100 ekor ayam, pembekal hanya hantar 30%. Kini kami boleh dapatkan sebanyak mana yang kami pesan,” kata Lim.

Lim berkata sejak akhir-akhir ini, kuasa beli pengguna telah menurun dan perniagaan penjaja juga terjejas.

“Penjaja yang membeli ayam daripada kami mengadu perniagaan merosot.

“Ia kerana sambutan perayaan hantu lapar, jadi permintaan pelanggan China berkurangan.”

Lim berkata walaupun kerajaan menarik balik larangan eksport ayam, ia tidak akan menjejaskan stok.

Pengguna kurang berbelanja

Peniaga ayam Richard Wan berkata bekalan sudah mencukupi sejak dua minggu lalu.

“Kami hanya jual ayam segar kerana rakyat Malaysia tidak suka ayam sejuk beku,” kata Wan.

Katanya, disebabkan kos operasi yang tinggi, keuntungannya kini rendah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee memberitahu Dewan Rakyat pada 1 Ogos pada masa ini terdapat lebihan bekalan ayam di pasaran, berikutan langkah campur tangan kerajaan untuk menstabilkan bekalan.

Beliau berkata larangan eksport ayam hanya sebagai langkah sementara, walaupun kementerian tidak umumkan bila larangan eksport itu akan ditarik balik hujung bulan ini.

Kerajaan umum pada Rabu (29 Jun) harga siling baharu ayam ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, iaitu 50 sen lebih tinggi daripada paras sebelumnya pada RM8.90, dan telur ayam gred A pada 45 sen sebiji di Semenanjung Malaysia mulai Jumaat (1 Julai).

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia Lee Yoon Yeau berkata telur ayam cukup di pasaran kerana permintaan yang rendah.

Apabila permintaan kembali normal, mungkin akan berlaku kekurangan, katanya.

“Apa sahaja yang kami hantar ke pasaran, ia habis dijual pada hari yang sama,” katanya.

Lee berkata memandangkan kenaikan harga makanan kacang soya akibat konflik Russia-Ukraine, pengeluaran telur lebih mahal sekarang.

“Suapan menyumbang 80% daripada kos kami. Kualiti bergantung pada cuaca.

“Jika kita mahu hasilkan 500,000 telur, kita memerlukan 3,000 tan makanan dan kosnya RM2,000 setiap tan.”

Kabinet menetapkan harga siling runcit telur ayam gred A pada 45 sen sebiji, telur gred B pada 43 sen sebiji, dan telur gred C pada 41 sen sebiji di Semenanjung Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai.

Lee berkata penternak kerugian RM5 juta hingga RM6 juta setiap bulan dan RM90,000 setiap hari. Ini tidak termasuk kos gaji, vaksin dan pengangkutan. – 14 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen