Putrajaya digesa henti tuding jari harga barang naik


Aminah Farid

Persatuan pengguna dan pakar ekonomi berkata perlu ada keazaman politik dalam isu keselamatan makanan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

PUTRAJAYA perlu berhenti menyalahkan penternak dan petani atas lonjakan harga produk berasaskan ayam, kata Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam.

“Golongan ini lalui banyak masalah. Mereka kurang pekerja, peningkatan kos antibiotik dan banyak lagi.

“Apa yang berlaku sekarang ialah ahli politik juga mendakwa kartel yang menyebabkan harga naik sedangkan itu tidak benar,” kata presidennya Jacob George pada forum mengenai keselamatan makanan secara langsung menerusi SinarDaily TV malam tadi.

Forum dihoskan oleh Tehmina Kaoosji itu turut disertai pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram dan Penganalisis Dasar Pertanian Profesor Fatimah Arshad.

Kebergantungan negara kepada import makanan menyumbang kepada peningkatan harga makanan, ditambah pula gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine, nilai ringgit serta faktor lain.

Walaupun mengimport 60% keperluan makanan, Malaysia mengeluarkan kira-kira 98.2% produk ayam bagi pasaran domestik.

Namun, penternakan ayam amat bergantung kepada makanan ternakan iaitu soya dan jagung yang diimport dari Argentina dan Brazil.

“Ya, memang ada kartel tetapi itu dulu. Kena faham bahawa apa yang berlaku sekarang berlaku di seluruh dunia,” kata Jacob.

Beliau menambah, daripada menuding jari, kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian dengan menetapkan harga seimbang antara pengeluar dan pengguna.

“Duduk berbincang dengan pihak yang mendesak supaya menaikkan harga, tanya mengapa perlu naikkan harga,” katanya menggesa kepada rundingan antara kerajaan dan pihak terbabit.

Pakar ekonomi berkata dasar pertanian negara gagal menyelesaikan isu keselamatan makanan negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2022.

Profesor Jomo senada dengan Jacob, berkata Putrajaya perlu berhenti menuding jari kerana ia tidak menyelesaikan masalah. 

“Isu ini sudah lama saya kaji. Isu orang tengah ini penting, tetapi itu dulu. Sekarang ini kita dapati persaingan di peringkat pemasaran cukup kompetetif.

“Malah, kerajaan yang mewujudkan monopoli dan monopsoni,” kata Jomo.

Sementara itu, Fatimah berkata dasar pertanian negara masih gagal menyelesaikan isu keselamatan makanan negara.

Tiada perubahan struktur, petani kurang pengetahuan tentang terknologi pertanian terkini adalah antara sebab mengapa Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara lain, katanya.

Beliau memberikan contoh Vietnam yang kini menjadi pengeksport utama beras, udang dan kopi walaupun telah melalui perang selama 20 tahun.

“Kita jauh ketinggalan, kita tidak menghasilkan banyak produk, tidak keluarkan mesin sendiri dan pertanian kita terlalu bergantung kepada pekerja asing,” ujarnya.

Kadar kebergantungan negara terhadap makanan import semakin meningkat, menurut Jabatan Perangkaan.

Nisbah kebergantungan import meningkat kepada 13.7% pada 2015 berbanding  7.4% pada 1987.

Antara makanan yang diimport pada 2020 adalah mangga (86.2%), kobis bulat (63.6%), sotong (52.5%), daging kambing (90.4%), daging lembu (78.1%) dan susu segar (53.5%). – 27 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen