Situasi menang-menang buat pengguna, penternak, kata timbalan menteri


Kerajaan menetapkan harga siling RM9.40 dan memberikan subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi setiap kilogram ayam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2022.

PENETAPAN harga siling bagi penjualan ayam satu pendekatan situasi menang-menang buat pengguna dan juga penternak, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sentiasa mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh industri untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka dan pada masa sama menjamin kebajikan pengguna yang menghadapi isu kenaikan harga barang ketika ini.

“Bermula hari ini, kerajaan tetapkan harga siling RM9.40 dan memberikan subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi setiap kilogram ayam. Itu akan menjadikan jumlah subsidi yang diperuntukkan dianggarkan RM369 juta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program jualan terus dari ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di perkarangan Ibu Pejabat Fama, Selayang hari ini.

Rabu lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Ahmad berkata, kerajaan sedar cabaran dihadapi pemain industri ketika ini terutama dari segi peningkatan kos input pertanian yang meningkat dengan ketara akibat faktor yang tidak dapat dikawal.

“Kita bukan sahaja menghadapi masalah cuaca, malahan masalah geopolitik yang tidak stabil ketika ini berlaku di seluruh dunia terutamanya perang Russia-Ukraine menjadikan kos input pertanian, makanan haiwan meningkat dengan begitu ketara sekali. Kerajaan memahami, sebab itu kami memberikan subsidi,” katanya yang memberi jaminan bekalan ayam dalam negara setakat hari ini masih lagi stabil dan mencukupi.

Sementara itu, Ahmad berkata, langkah untuk memansuhkan kelulusan kuota import (AP) dalam mengimport ayam dari luar negara suatu langkah yang tepat kerana ia menyumbang kepada kestabilan bekalan.

“Untuk memberikan peluang kepada pengusaha lain mengimport dan memastikan kita mempunyai bekalan yang cukup, kami beri peluang dan sekarang tidak ada lagi AP,” katanya.

Namun, beliau menerangkan walaupun AP dimansuhkan, pengimport perlu memperoleh Import Permit (IP) kerana apa juga produk pertanian masih perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) sebelum dipasarkan di dalam negara. – Bernama, 1 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen