KEMASUKAN bekas CEO Ideas Wan Saiful Wan Jan ke dalam Bersatu boleh menarik kumpulan Melayu-Islam moderat ke dalam Pakatan Harapan (PH), kata ahli akademik.
“Kemasukan Wan Saiful ke dalam Bersatu juga akan membentuk gelombang kecil kepada Pakatan (PH) kerana dia memang dikenali sebagai intelek Melayu berbakat besar,” kata Profesor Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia hari ini.
Pensyarah kajian politik dan dasar awam itu berkata Wan Saiful yang berusia 43 tahun itu dipandang tinggi oleh pengundi muda Melayu yang berminat dengan isu Islam, kata Mazlan.
Berbeza dengan kumpulan moderat Melayu, pengundi Melayu Islam adalah kumpulan utama yang menyokong Umno dan PAS, tambahnya.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata kemasukan ahli akademik ke dalam politik akan mewujudkan mekanisme “semak dan imbang” yang lebih baik kepada parti politik.
“Mereka boleh (berfungsi) sebagai semak dan imbang dalam Pakatan dalam pelbagai isu berkaitan pergerakan sosial dan suara akar umbi yang selama ini terpinggir.
“Latihan dan pendedahan (diterima) oleh Wan Saiful dan Maria Chin Abdullah dalam pergerakan sosial akan membolehkan mereka menjadi lebih proaktif dalam menangani isu,” kata pensyarah pengajian Melayu itu.
Kemasukan Wan Saiful dalam Bersatu didedahkan semalam dan dijangka akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Sebelum menyertai Bersatu, Wan Saiful adalah ahli seumur hidup PAS dan pengasas serta ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) yang ditubuhkan pada 2010, beliau juga adalah felo kanan pelawat di Iseas-Ishak Yusof Institute di Singapura.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria juga dijangka bertanding dalam pilihan raya akan datang menggunakan tiket PH.
Bagaimanapun, aktivis hak wanita yang lantang itu mengatakan masih tiada keputusan untuk bertanding dibuat walaupun perbincangan sedang dijalankan.

Kepelbagaian latar belakang
Awang Azman percaya kemasukan aktivis dan ahli akademik juga boleh menambah kepelbagaian suara dalam Parlimen.
“Sama seperti ahli akademik atau aktivis yang menyertai politik, mereka boleh memberikan nilai tambah (dalam PH) disebabkan pengalaman mereka menguruskan data dan penyelidikan. Ini adalah sumbangan dinamik kepada kemajuan politik negara,” katanya.
Begitupun, satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah memastikan idealisme mereka tidak terkesan dengan pragmatisme politik, kata Awang Azman.
Mazlan pula mengatakan Maria dan Wan Saiful adalah antara nama besar dalam pergerakan masyarakat sivil semasa.
“Maria akan mengukuhkan sokongan pergerakan masyarakat sivil kepada Pakatan kerana dia dilihat sebagai seorang dengan rekod kerja yang padu dan konsisten perjuangannya dalam Bersih 2.0,” kata Mazlan.
Wan Saiful adalah antara ahli akademik dan aktivis dalam senarai panjang kelompok itu yang menyertai politik.
Antara ahli Parlimen sekarang yang memulakan kerjaya mereka dalam aktivisme sebelum menyertai politik adalah Ahli Parlimen Subang R Sivarasa (Suaram), Ahli Parlimen Batu Chua Tiang Chang (Jaringan Kumpulan Pelajar Luar Negara) dan Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang (Abim).
Sementara bekas ahli akademik yang meninggalkan akademia untuk menyertai politik ialah Dr P Ramasamy yang merupakan profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menjadi ahli Parlimen Batu Kawan dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang.
Selain Hadi yang kini presiden PAS, aktivis terkenal yang memasuki politik dan berjaya dalam dunia itu ialah Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Seperti Hadi, Anwar juga memulakan kerjayanya dengan Abim. Bermula sebagai pemimpin mahasiswa Persatuan Pelajar Islam Malaysia (196801971), Anwar kemudian menjadi antara pengasas Abim.
Pada 1982, Anwar menyertai Umno dan dengan pantas mendaki tangga politik apabila dilantik sebagai menteri belia dan sukan 1983. Selepas itu dia menerajui kementerian pertanian dan kementerian pendidikan sebelum akhirnya dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada 1993. – 2 Mac, 2018.
Komen