Benarkan penjawat awam berniaga untuk elak rasuah


Nabihah Hamid

Perdana Menteri Najib Razak bertemu dengan penjawat awam hari ini dalam sesi dialog TN50 di Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2017.

PERNIAGAAN merupakan kunci mengelakkan gejala rasuah selain menambahkan pendapatan penjawat awam, kata Azhar Zainul Rashid petugas dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bercakap di sesi dialog Transformasi Nasional (TN50) Perdana Menteri Najib Razak di Putrajaya hari ini, Zainul mencadangkan seminar perniagaan dianjurkan kerajaan yang boleh memberi peluang kepada penjawat awam memiliki pendapatan tambahan. 

“Saya mohon kerajaan mempertimbangkan satu kaedah berstruktur seperti seminar khas bengkel insiatif TN50 peniaga untuk penjawat awam.

“Ia agar kakitangan digalakkan berniaga atas talian dengan komitmen minimum tanpa mengganggu kerja seharian. Kaedah berstruktur ini akan mampu meningkatkan ekonomi keluarga penjawat awam dan secara akan memberi motivasi meningkatkan nama kerajaan pemberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

“Secara tidak langsung mengurangkan dan mungkin menamatkan gejala rasuah yang menjadi barah negara. Ramai penjawat awam yang terlibat dalam perniagaan tetapi dalam keadaan takut-takut datuk seri (Najib) sebab tidak distrukturkan kaedah yang betul dan bersih,” katanya didepan ratusan penjawat awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Shamsun Baharin berkata pada 24 Mei lalu yang 46% kes yang disiasat antara 2014 dan 2016 melibatkan penjawat awam.

Pendidikan alat perpaduan

Sesi dialog penjawat awam itu turut membangkitkan isu sistem pendidikan di Malaysia.

Hanya memperkenalkan diri sebagai Nadia, petugas KPM itu mencadangkan sekolah satu aliran digunakan menjelang 2050.

“Aspirasi saya, selain negara maju saya menghasratkan masyarakat bersatu padu yang penuh nilai. Alat perpaduan melalui pendidikan.

“Dan salah satu cara untuk menyuntik perpaduan sekolah satu aliran yang memperkasa bahasa Inggeris, menggunakan bahasa Melayu sebagai penghantar tanpa mengenepikan bahasa Cina dan Tamil,” katanya.

Perdana menteri pada akhir sesi dialog mengulas mengenai sekolah satu aliran dan turut membayangkan sekolah aliran itu akan wujud menjelang 2050. 

“Soal perpaduan. Kita hendak negara aman harmoni tetapi macamana hendak capai perpaduan nasional. Ada juga cadang mula dari sekolah. Ini perkara cukup sensitif sebab kita ada sistem aliran yang berbeza.

“Apa penyelesaiannya? Bukan hendak tutup sekolah Cina dan Tamil tetapi pilih satu sekolah nasional dimana bahasa kebangsaan, bahasa penghantar, memperkasakan bahasa Inggeris dan bahasa elektif Mandarian, Tamil, dan mungkin bahasa Arab.

“Kalau dia pelajar Cina dia dapat tiga bahasa. Dan para guru ini jangan satu kaum sahaja. Tapi boleh tak diterima modulnya? Saya bukan saya cadangkan saya bayangkan sebab semua sebut nak perpaduan,” katanya merujuk kepada cadangan Nadia.

Tambahnya, untuk merealisasikan perkara tersebut banyak perkara perlu di ambil kira termasuk kewujudan sekolah agama seperti Tahfiz.

Sementara itu, penjawat awam turut mengutarakan tentang pemerkasaan pengangkutan awam, cadangan membenarkan wanita bekerja dari rumah selain meminta kerajaan memberikan penempatan kerja kepada penjawat awam muda.

Sesi dialog bermula 9 pagi di Putrajaya itu dihadiri ratusan penjawatan awam pelbagai sektor dan dikendalikan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa. – 31 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Stupid. Resign if you want to be involve in any sort of business. Civil service quality at all time low and now they want to do business. Unacceotable.

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Jimmy Jimmy · Ulasan