Biar pasaran tentukan harga siling telur, kata penternak


Khoo Gek San

Penternak telur mahu Putrajaya mengenakan larangan sementara terhadap eksport telur, khususnya ke Singapura dan Hong Kong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

PENGUSAHA telur menuntut Putrajaya menghapuskan harga siling telur secepat mungkin sebaliknya membenarkan kuasa pasaran menentukan harga.

Pada masa sama, mereka juga mahu Putrajaya mengenakan larangan sementara terhadap eksport telur, khususnya ke Singapura dan Hong Kong.

Mereka berkata, ini langkah yang boleh dilaksanakan segera untuk mengatasi kekurangan telur yang melanda negara tahun ini.

Pengusaha pasar raya Ameer Ali Mydin menuduh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan gagal menunaikan janji untuk mengatasi kekurangan itu, sambil menambah rangkaian pasar rayanya amat berasakan kekurangan itu.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu berkata, pembekal telur ayam hanya dapat memenuhi 40% permintaan pasar rayanya dan keadaan itu amat serius.

Ameer berkata, beliau dimaklumkan disebabkan pengusaha telur ayam mengalami kerugian susulan harga siling itu, ramai yang mengurangkan pengeluaran untuk mengehadkan kerugian mereka.

Memandangkan kekurangan itu berterusan tanpa penyelesaian, beliau memberi amaran mengenai akibat menjelang Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh enam bulan apabila permintaan telur biasanya tinggi.

Beliau berkata, permintaan itu akan bermula tiga bulan sebelum perayaan, apabila orang ramai mula membakar kek, biskut, pastri dan juadah lain yang menggunakan telur.

Ameer berkata, dasar sekarang hanya membantu mengawal harga telur untuk menjadikannya mampu milik kepada pengguna.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, lebih baik jika dasar dibuat untuk membantu meningkatkan bekalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

Namun katanya, dasar itu menjadi punca kekurangan bekalan kerana penternak telur mengurangkan pengeluaran sekali gus menyukarkan mereka.

Katanya, adalah lebih baik jika dasar dibuat untuk membantu meningkatkan bekalan.

“Saya pasti harga telur biasa tidak akan melambung lebih tinggi berbanding telur AA dengan penghapusan harga siling.”

Untuk mengelakkan rasa tidak puas hati, Ameer berkata, kerajaan perlu bertindak sekarang kerana masih ada kurang daripada enam bulan untuk perayaan itu, salah satu yang terpenting dalam kalendar umat Islam.

“Tidak mungkin ladang menghasilkan telur dalam masa satu hari untuk memenuhi permintaan.”

Kos pemakanan lebih tinggi

Lee Yoon Yeau, timbalan presiden Persekutuan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia, berkata subsidi untuk penternak ayam dan telur yang berakhir pada 31 Ogos, perlu dikembalikan semula bagi mengatasi kekurangan itu.

Lee memberitahu The Malaysian Insight penghapusan harga siling dan membiarkan kuasa pasaran menentukan harga telur perlu dilaksanakan kerana harga siling menyebabkan penternak ayam dan telur terjejas.

Lee berkata dengan harga siling, penternak mendapati mereka semakin sukar untuk bertahan memandangkan kenaikan berterusan harga makanan ayam yang mereka gunakan.

Makanan itu kebanyakannya diimport, katanya dan kenaikan harga makanan menyebabkan kos makanan lebih tinggi.

Beliau berkata, dengan harga makanan import meningkat 7% hingga 8% dalam tempoh dua minggu lalu, ia menjadikan kos pengeluaran telur kini 44 sen.

Bagi mengurangkan kerugian, beberapa ladang terpaksa memusnahkan ayam mereka yang lebih tua dan kurang produktif pada Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2022.

Untuk mengurangkan kerugian mereka, Lee berkata pada bulan Mac, beberapa ladang terpaksa memusnahkan ayam mereka yang lebih tua dan kurang produktif.

Beliau berkata, kos makanan yang tinggi, ditambah dengan penurunan anak ayam inkubator, menyebabkan beberapa ladang mengurangkan pengeluaran sebanyak 20%.

Lee berkata, peningkatan kos makanan itu disebabkan beberapa faktor.

Pertama, negara pengeksport makanan mengalami hasil tuaian yang kurang susulan kemarau sekali gus mengurangkan bekalan bahan utama.

Kedua, ringgit Malaysia terus menyusut berbanding mata wang asing utama, menjadikannya lebih mahal untuk mengimport makanan itu jika import perlu dibayar dalam dolar AS.

Lee berkata, penternak boleh menjangkakan satu lagi kenaikan harga bulan depan.

“Apabila ia berlaku, kos pengeluaran telur tidak akan menjadi 44 sen. Ladang yang mempunyai overhead tinggi mungkin menghasilkan telur pada 46 sen dan ia sudah melepasi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

“Sehingga kini, kerajaan tidak menyatakan sama ada harga siling itu akan dimansuhkan. Kami penternak telur sudah telus mengenai berapa banyak yang kami bayar untuk mengimport makanan dan kos operasi kami.

“Kerajaan tahu mengenai keuntungan dan kerugian kami. Jadi kalau pengguna nak tahu kenapa harga telur meningkat, jangan tanya kami. Tanya kerajaan.”

Lee juga menegaskan, jika harga makanan terus meningkat, maka ladang penternak akan menghadapi masalah menghasilkan anak ayam. – 2 Oktober, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen