Penternak gesa kerajaan tarik balik sekatan eksport ayam


Khoo Gek San

Bekalan ayam bagi pasaran tempatan kini stabil malah lebih daripada mencukupi jika kerajaan menarik balik sekatan eskport, kata penternak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2022.

PENTERNAK ayam menggesa kerajaan menarik balik sekatan eksport ternakan itu berikutan lambakan bekalan dalam pasaran tempatan.

Bekalan domestik kini melebihi permintaan sejak kerajaan umum sekatan pada 1 Jun lalu, kata penternak yang ditemu bual The Malaysian Insight.

Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor Lau Ka Leng berkata berdasarkan permintaan, bekalan ayam bagi pasaran tempatan kini stabil malah lebih daripada mencukupi jika kerajaan menarik balik sekatan eskport.

Penternak katanya tidak dapat membuat untung jika hanya bergantung kepada pasaran tempatan.

Lau selain itu berharap kerajaan akan segera meluluskan pengambilan pekerja asing bagi mengatasi masalah tenaga kerja.

Ini kerana kekurangan pekerja menyebabkan ladangnya hanya mampu mengeluarkan 40,000 ekor ayam sebulan berbanding 100,000 sebelum ini, iaitu pengurangan sebanyak 60%.

Berkuatkuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melaksanakan sekatan eksport ayam melibatkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Langkah itu diambil selepas berlaku kekurangan bekalan yang menyebabkan harga ayam naik.

Bagaimanapun, pada 29 Ogos lalu kerajaan umum larangan eksport ayam akan ditarik balik pada Oktober, tetapi berkata hanya ladang tertentu akan dibenarkan menternak ayam untuk dieksport.

Pemborong ayam dari Muar, Tey Geok Kai berkata bekalan ayam di pasaran tempatan mencukupi dan permintaan tidaklah begitu tinggi.

Menurutnya, harga ayam di ladang ditetapkan pada harga RM6 sekilogram manakala harga borong RM6.50 sekilogram, tidak melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

“Harga ayam sekarang tak mahal. Bekalan untuk pelanggan pun cukup, tetapi jumlah jualan tidak tinggi,” ujarnya.

Semasa harga ayam di pasaran melambung tinggi dan harga dari ladang melebihi RM9 sekilogram, kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram.

Kemudian pada 1 Julai,kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia, harga ayam di ladang pada RM6 sekilogram manakala harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10 sekilogram.

Integrator yang mahu namanya dirahsiakan berkata anak ayam yang dibekal kepada penternak pada September dijangka boleh dieksport selepas sebulan.

Penternak katanya masih menunggu pengumuman kerajaan bilakah produk mereka boleh dieksport.

“Buat masa ini kerajaan belum lagi benarkan ayam dieksport. Sebenarnya, kita sedang alami lambakan ayam, bekalan sekarang tak seteruk macam sebelum ini,” ujarnya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, ayam yang diternak di ladangnya kini dijual pada harga antara RM6.60 dan RM6.70 sekilogram bergantung pada saiz.

Beliau mengharapkan sekatan eksport ayam ditarik balik bulan depan.

“Sebelum ini bekalan kurang kerana kos makanan ayam melambung tinggi dan permintaan juga meningkat.

“Sekarang kuasa beli pengguna menurun dan bekalan melebihi permintaan,” jelasnya. – 13 September, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen