Jawatankuasa khas Pakatan temui pemimpin Muda


Presiden Muda Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Amira Aisya Abd Aziz turut menyertai mesyuarat dengan jawatankuasa khas PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

JAWATANKUASA khas Pakatan Harapan (PH) bertemu pemimpin Muda hari ini untuk merundingkan penyertaan parti tersebut sebagai anggota komponen gabungan berkenaan.

Satu kenyataan bersama dikeluarkan PH dan Muda menyebut, pertemuan itu berlangsung dengan baik dan lancar dan akan memajukan isu berbangkit ke Majlis Presiden gabungan tersebut.

“Isu-isu berbangkit akan dibawa kepada peringkat pimpinan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Segala perkembangan di masa hadapan akan dimaklumkan melalui kenyataan bersama kepada pihak media,” kenyataan itu dipetik.

Mesyuarat itu juga diadakan sebagai usaha memastikan suara dan kepentingan rakyat diangkat dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia menyebut, PH diwakili Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda dan Presiden Upko Ewon Benedick.

Di pihak Muda, empat pemimpinnya menyertai menysuarat itu antaranya presiden parti Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Amira Aisya Abd Aziz. 

Pengumuman Muda menyertai PH dikritik beberapa pemimpin PKR namun presidennya Anwar Ibrahim berpendapat hasrat Muda itu harus diteliti melalui perbincangan.

Tentangan antara lain disuarakan ketua pemudanya Adam Adli Abdul Halim yang mahu PH menyelesaikan beberapa isu terutama sekali sentimen akar umbi sebelum mempertimbang untuk menerima Muda.

Sewaktu Pilihan Raya Negeri Johor, Muda yang pertama kali bertanding gagal mencapai kata sepakat dengan PKR menyebabkan berlaku pertindihan di kerusi DUN Larkin.

Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah yang mewakili BN kemudian berjaya menang kerusi itu yang menyaksikan pertandingan enam penjuru.– 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen