Bekas pembantu penyelidik Anwar fail rayuan kes saman serangan seksual


Muhammed Yusoff Rawther memfailkan notis rayuan berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 September lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2022.

BEKAS pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas presiden PKR itu.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Yusoff berkata pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 September.

“Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) pada 27 Disember ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 September lepas.

Permohonan itu adalah berhubung saman dikemukakan Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Yusoff.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis dibuat terhadap Anwar pada 7 Disember 2019.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam. – Bernama, 30 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen