PBM persoal pelajar cemerlang sukar dapat tempat di universiti awam


Wanita Parti Bangsa Malaysia berkata keadaan ini boleh melemahkan semangat pelajar cemerlang serta menyumbang kepada penghijrahan sumber manusia berkualiti tinggi ke luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2022.

UNIT Pusat Universiti (UPU) dan pihak berkuasa tempatan digesa lebih telus supaya pelajar yang gagal mendapat tempat di universiti awam dimaklumkan punca permohonan mereka ditolak, kata Wanita Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

Ketuanya Muniraa Abu Bakar dalam satu kenyataan mengulas beberapa kes pelajar cemerlang dilaporkan tidak diterima masuk ke universiti awam, hingga mencetus persoalan mengenai kriteria sebenar yang diperlukan.

Keadaan ini katanya, boleh melemahkan semangat pelajar cemerlang serta menyumbang kepada penghijrahan sumber manusia berkualiti tinggi ke luar negara.

Beliau merujuk kepada isu yang hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini, membabitkan seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang, yang gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti ternama negara.

Pelajar terbabit memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95. 

Bagaimanapun, pelajar itu berjaya diterima masuk ke dua universiti di United Kingdom, selepas memohon melalui University and Colleges Admissions Service (UCAS).

Mengulas lanjut, Muniraa berkata timbul persoalan bagaimana permohonan pelajar cemerlang ini diterima masuk ke universiti luar negara, tetapi ditolak universiti awam tempatan.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan ambil perhatian isu ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Dalam tempoh beberapa tahun lalu lebih dua juta rakyat Malaysia tinggal dan bekerja di luar negara, kebanyakannya dalam bidang profesional.

“PBM percaya antara punca keadaan itu adalah kerana ramai pelajar kita gagal mendapat tempat di universiti awam tempatan, sekali gus memaksa mereka melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan kemudian mendapat tawaran kerja, seterusnya terus menetap di sana.

“Lazimnya hanya pelajar dengan latar belakang kewangan yang kukuh sahaja mampu berbuat demikian atau belajar di institusi pengajian tinggi swasta dalam negara kerana kedua-duanya memerlukan perbelanjaan dan kos yang tinggi.

”Apa akan jadi kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kemampuan kewangan tetapi cemerlang dalam pengajian, namun permohonan mereka ditolak pula oleh universiti awam di negara sendiri?” soal Muniraa. – 29 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen