Jangan layan gesaan nak pilihan raya awal, kata Syed Saddiq


Elill Easwaran

Antara peserta protes Nyawa Dulu Baru PRU mengangkat slogan menolak pilihan raya diadakan ketika musim banjir, di Sogo, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2022.

SEMUA pihak perlu fokus kepada bantuan untuk mangsa banjir nanti, bukannya melayan idea untuk buat pilihan raya (PRU), kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Mustahil untuk sebarang persiapan banjir jika menteri sibuk berkempen bila pilihan raya akan dibuat,” katanya semasa bantahan Nyawa Dulu Baru PRU di Sogo hari ini.

Kira-kira 70 penunjuk perasaan di situ dengan kehadiran lebih 100 pegawai polis ketika protes yang berlangsung selama sejam dari 4 petang itu.

Tambah Syed Saddiq Muda MUDA akan membentangkan pelan dasar untuk tangani banjir kepada kerajaan minggu depan.

“Kami harap kerajaan lihat dan pertimbang.”

Beliau turut menyelar Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kerana menggesa PRU diadakan sebelum musim banjir.

“Anda yakin kah musim tengkujuh pada November seperti yang diramalkan, ia boleh berlaku lebih awal.

“Tahun lepas kita lihat jumlah hujan yang diramalkan selama sebulan, berlaku hanya dalam dua hari. Kita tidak boleh ulang silap yang sama,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa orang ramai supaya tidak melayan idea untuk buat pilihan raya awal, berkata tumpuan utama ialah persediaan kemungkinan banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2022.

Asyraf berkata ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang musim tengkujuh akan bermula pada akhir November.

“Jika ramalan MetMalaysia ini dijadikan sandaran, maka PRU masih boleh diadakan sebelum banjir besar penghujung November,” katanya.

Sementara itu, Ainie haziqah dari Muda berkata Abdul Zahid Hamidi tidak boleh pentingkan diri.

“Beliau dan rakan-rakannya cuma nak elak dari mahkamah dengan menggesa pilihan raya (segera).

“Oleh itu, kami ada dua tuntutan kepada kerajaan iaitu tolak PRU tahun ini dan tunjukkan kepada kami pelan tebatan banjir anda,” katanya.

Beliau juga berkata isu kos sara hidup yang tinggi juga masih belum diselesaikan.

“Kerajaan harus meneliti semua ini sebelum fikir nak buat pilihan raya.

Ahli Parlimen Pasir Pinji Howard Lee turut mempersoalkan siapa yang akan menjaga rakyat semasa banjir jika PRU diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2022.

Ahli Parlimen Pasir Pinji Howard Lee turut mempersoalkan siapa yang akan menjaga rakyat semasa banjir jika PRU diadakan.

“Buat pilihan raya semasa banjir adalah sesuatu yang cuma kerajaan gila akan buat.

“Kita tak takut buat pilihan raya tetapi kita lagi takut banyak nyawa terkorban,” kata pemimpin DAP.

Minggu lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat tidak perlu menunggu lama sebelum pengumuman PRU dibuat.

Beliau berkata, rakyat perlu menunggu sedikit masa lagi kerana PRU15 akan diadakan selepas perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.

“Percayalah. Sedikit lagi (penantian itu). Ia tidak lama lagi.” – 24 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen