Sempat buat PRU15 sebelum musim banjir, kata ketua pemuda Umno


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pilihan raya umum sempat diadakan pada awal November ini, iaitu dua tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat oleh MetMalaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2022.

MASIH ADA masa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum musim banjir, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang musim tengkujuh akan bermula pada penghujung November.

“Jika ramalan MetMalaysia ini dijadikan sandaran, maka PRU masih boleh diadakan sebelum banjir besar penghujung November,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober 2022, maka PRU15 dapat dan sempat dibuat pada awal November 2022, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat.”

Mengenai sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu mengadakan pilihan raya empat minggu selepas Parlimen dibubarkan, Asyraf berkata rekod menunjukkan SPR boleh melakukannya.

Beliau mengingatkan kembali PRU14 yang diadakan pada 8 Mei 2018 selepas Parlimen dibubarkan pada 7 April 2018.

“Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat tekanan daripada partinya sendiri untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum segera.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya walaupun diadakan pada musim banjir.

Kenyataannya itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang mengatakan Zahid lebih mengutamakan kuasa berbanding kebajikan rakyat. – 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen