KERAJAAN mendapat petunjuk tertentu berhubung dakwaan kecurian data penyata gaji (ePenyata Gaji) kakitangan awam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata kerajaan memandang serius berhubung isu ketirisan serta kecurian data itu.
“Dalam kes dakwaan kecurian data yang melibatkan ePenyata Gaji kakitangan dan sebagainya kita bersetuju supaya tidak ramai mengeluarkan kenyataan kerana tidak mahu mengganggu penyiasatan yang sedang rancak dijalankan.
“Kita setuju sebarang kemas kini perlulah dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) cuma apa yang boleh saya maklumkan kita mendapat petunjuk yang tertentu dan tindakan-tindakan sedang menyusul,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas di Kota Bharu hari ini.
Beberapa media sebelum ini melaporkan isu kecurian data apabila sekumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka dari organisasi keselamatan siber ‘gray hat’ mendakwa menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.
Annuar berkata isu kecurian data menjadi satu fenomena susulan itu pihaknya membentuk satu kerangka kerja untuk membaiki atau melindungi masalah berkenaan kerana apa yang berlaku bukan di Malaysia sahaja.
“Saya mahu jelaskan kerana ramai yang salah faham. Kalau berlaku kecurian data membabitkan data peribadi di bawah kelolaan syarikat dan swasta, ia termasuk di bawah Akta Perlindungan Peribadi dikelolakan Jabatan Perlindungan Data iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Jika data dari institusi atau jabatan kementerian, ia tidak termasuk di bawah Jabatan Perlindungan Data, sebaliknya di bawah NACSA dan JPM.
“Berhubung dakwaan pencerobohan sistem penyata gaji ini, ia di bawah NACSA namun CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah kementerian akan memberikan bantuan dari segi siasatan forensik,” katanya. – Bernama, 18 September, 2022.
Komen