AGENSI Keselamatan Siber Nasional (Nasca) sedang menyiasat kumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai “penggodam topi kelabu” dalam pencerobohan sistem siber terbaru didakwa melibatkan sistem e-Penyata Gaji Putrajaya, kata Annuar Musa dipetik akhbar New Straits Times.
Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata Jabatan Perdana Menteri turut membantu siasatan.
Annuar bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut apabila ditanya tentang kerosakan dilakukan “penggodam topi kelabu” itu.
“Kita tunggu analisis digital forensik dan hanya Nasca akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara ini,” katanya lagi.
Khamis lepas, sekumpulan individu tidak dikenal pasti mendakwa berjaya mengesan kelemahan sistem e-Penyata Gaji, sebuah sistem data gaji penjawat awam Malaysia.
Kumpulan itu juga mendakwa sudah berjaya menggodam sistem itu dan memperolehi jumlah data yang besar.
Antara maklumat yang dicuri adalah nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit dan alamat emel.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata audit keselamatan siber perlu dilakukan di semua kementerian dan agensi kerajaan susulan pendedahan itu.
“Jika benar, ia bermaksud segala data peribadi penjawat awam termasuk ahli-ahli Jemaah Menteri telah dicuri dan bakal dijual penjenayah siber.
“Perdana Menteri perlu mengarahkan semua Kementerian dan agensi Kerajaan untuk segera melakukan audit keselamatan siber (cyber security audit) bagi mengenalpasti dan menutup segala kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia,” katanya.
Fahmi turut mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan penjelasan kes itu pada persidangan Parlimen akan datang. – 17 September, 2022.
Komen