AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan terbaru kebocoran sistem keselamatan siber melibatkan sistem e-Penyata Gaji penjawat awam.
Khamis lepas akhbar Sinchew Daily melaporkan dakwaan bahawa sejuta set data peribadi dan dua juta penyata gaji telah dicuri dalam kes pencerobohan terbaru itu.
Fahmi yang juga ketua perhubungan PKR dan Pakatan Harapan menyifatkan pencerobohan itu sebagai “sangat membimbangkan” dan “krisis keselamatan siber negara yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.”
“Inisiden terkini ini adalah satu pencerobohan yang menjejaskan keselamatan peribadi bukan sahaja para penjawat awam malah juga pimpinan utama negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata jika laporan itu benar, pelanggaran itu adalah kecurian data besar-besaran kali keempat dilaporkan tahun ini, dan dianggarkan data peribadi yang telah dicuri setakat tahun ini sahaja berjumlah lebih 25 juta.
Katanya lagi, pencerobohan sistem e-Penyata Gaji itu bermakna semua data peribadi penjawat awam termasuk jemaah menteri telah dicuri dan boleh dijual kepada penjenayah siber.
Bagi menghalang pencerobohan seterusnya, Fahmi berkata perdana menteri perlu dengan serta merta mengarahkan semua kementerian dan agensi utama melaksanakan audit keselamatan siber bagi mengenalpasti dan menutup semua kelompangan sistem sekuriti yang wujud kini sehingga membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia.
Tambahnya, perdana menteri juga perlu memberikan penjelasan kes itu di Parlimen.
Beliau turut mencadangkan Kementerian Mewangan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengkaji mekanisme menghukum mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi sistem itu tetapi gagal berbuat demikian.
Mekanisma untuk membayar pampasan atau ganti rugi untuk semua mangsa juga perlu dikaji, katanya lagi dalam kenyataan.
“Ini bagi menghantar mesej yang amat jelas bahawa mana-mana pihak yang mengendali data peribadi wajib dipertanggungjawab sekiranya keselamatan data tersebut terjejas, dan mereka yang menjadi mangsa kecurian data wajib mendapat keadilan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pindaan dibuat ke atas akta sedia ada bagi menangani isu kecurian data peribadi yang semakin membimbangkan.
“Apabila kita sedar bahawa tiga dari empat insiden kecurian data peribadi tahun ini dipercayai melibatkan agensi-agensi Kerajaan, maka Kerajaan mesti meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 termasuk dengan tidak mengecualikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri dari pemakaian akta ini.
“Pindaan ini juga mesti mengambil kira perkara-perkara utama yang disenaraikan di dalam Kertas Perundingan Awam No. 01/2020 yang diterbitkan pada 14 Februari 2020, dan semua pihak termasuk Pembangkang perlu dilibatkan sebelum ia dibentang di Parlimen pada Oktober ini.” – 17 September, 2022.
Komen