JABATAN Penjara Malaysia menafikan dakwaan VIP akan diberi layanan istimewa.
Menjawab gambar viral sebuah bilik berperabot, bersih dan luas, yang didakwa sebagai penjara untuk VIP, jabatan itu berkata ia adalah palsu.
“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” kata jabatan itu dalam catatan ringkas di laman Facebook rasminya, disertai dengan perkataan besar bertulis “PALSU” pada gambar yang tular itu.
Gambar tular itu tidak menamakan sesiapa secara khusus tetapi nampaknya ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan khabar angin bahawa beliau akan diberi layanan istimewa oleh jabatan penjara.
Semalam, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah tertinggi memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta.
Di samping itu, Najib perlu membayar denda RM210 juta, jika gagal berbuat demikian, beliau perlu menjalani hukuman penjara lima tahun lagi.
Netizen beranggapan Najib, sebagai bekas perdana menteri dan ahli Parlimen Pekan, akan diberi layanan istimewa di penjara.
Malah ada yang mempersoalkan mengapa Najib, walaupun telah disabitkan kesalahan semalam, masih mempunyai pengiring polis. – 24 Ogos, 2022.
Komen