Projek Reben Kuning beri peluang kedua kepada belia bermasalah


Ragananthini Vethasalam

Projek Reben Kuning memberi peluang kedua bekas penghuni  Sekolah Henry Gurney Muhammad Izzad Daniel Abdullah bangkit untuk berjaya dalam hidup. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Mac, 2021.

BEKAS penghuni Sekolah Henry Gurney Muhammad Izzad Daniel Abdullah bukan sahaja ingin memulakan hidup baharu, tetapi juga berkongsi pengalamannya sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Anak muda berusia 22 tahun, bekas pesalah juvana di pusat pemulihan akhlak di bawah Jabatan Penjara yang terletak di Telok Mas, Melaka itu berkongsi pengalaman menerusi YouTube serta mengajak anak muda menjauhi jenayah.

Usahanya bermula selepas beliau mendaftarkan diri untuk menyertai Projek Reben Kuning, satu program yang memberi peluang kedua kepada belia bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak.

Projek Reben Kuning diasaskan pada 2019 oleh bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Izzad ketika menceritakan pengalaman masa lalunya kepada The Malaysian Insight, berkata beliau mula berjinak-jinak dengan dadah seawal usia 13 tahun, kemudian melarat kepada kegiatan samun dan rompakan.

“Saya mula menghidu gam sejak berusia 12 tahun. Saya ada sifat ingin mencuba, bukan disebabkan pengaruh kawan tapi saya sendiri nak cari dadah tu. 

“Saya pun pergilah cari kawan-kawan yang hisap dadah sebab saya ada masalah keluarga,” katanya.

Izzad berkata beliau sering bertukar sekolah semasa berada di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.

“Bila dah hisap dadah, saya terlibat pula dengan kes-kes samun dan rompakan,” cerita anak muda berasal dari Pahang itu.

Ketika berusia 17 tahun, Izzad ditahan polis kerana memecah masuk sebuah rumah. Oleh kerana masih di bawah umur, Izad dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney.

“Semasa ditahan di lokap Maran, saya tertekan…. nak lari pun tak boleh. Saya ambil keputusan hendak bunuh diri. Tapi, seorang koperal perasan tindak-tanduk saya yang pelik.

“Korporal itu datang dan bersembang dengan saya seperti kawan, bukan tahanan. 

“Saya masih ingat lagi, dia beritahu yang perjalanan hidup saya masih panjang,”  kata Izzad, menambah kata-kata koperal itulah yang menjadi perangsang kepadanya untuk berubah.

Pengalaman di Sekolah Henry Gurney

Menurut Izzad beliau mengambil masa selama setahun untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharu di Sekolah Henry Gurney.

“Di sana saya belajar untuk ikut kepada peraturan dan berdisiplin. Di luar, saya hidup tanpa peraturan. Di Henry Gurney, kami diajar supaya ikut peraturan dan undang-undang.”

Tidak seperti mana-mana sekolah biasa, sistem di sekolah bagi pesalah juvana sama seperti di penjara dan dipantau oleh warden.

Izzad juga tekun belajar semasa di Sekolah Henry Gurney dan berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya pasang satu niat, selepas keluar saya tak nak balik semula ke Henry Gurney sebab Henry Gurney ini bukan satu tempat yang seronok.

“Henry Gurney bukan tempat untuk berubah. Tempat untuk kita benar benar berubah adalah di luar. Henry Gurney adalah tempat untuk kami belajar untuk berubah, bukan tempat untuk menghukum tetapi mendidik kita supaya menjadi manusia,” katanya.

Selepas keluar dari Henry Gurney lah Izzad menyertai Projek Reben Kuning, dan menerusi program itu jugalah beliau ditempatkan di Westport.

“Waktu itu saya tunjukkan komitmen yang baik dan berdisiplin. Sampai sekarang saya masih bersama Reben Kuning.

“Projek Reben Kuning banyak membantu saya dari segi kerjaya, kewangan selain memberi suntikan kata-kata semangat,” jelas Izzad, menambah beliau menyertai Projek Reben Kuning secara sambilan.

Anak muda itu kini sedang mengikuti Diploma  Pengurusan Penerbangan di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics.

Izzad bercita-cita untuk menceburi sektor penerbangan selepas tamat pengajian yang berbaki dua semester.

“Saya mahu berjaya seperti orang lain, berubah menjadi insan yang lebih baik, terbaik antara yang terbaik.”

Beliau juga bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan kelak. Katanya, “Saya mahu jadi seorang pakar motivasi.”

Izzad yang mempunyai seramai 37,600 pengikut di YouTube, menggunakan platform tersebut sebagai saluran untuk menyampaikan mesej kepada belia agar menjauhi jenayah dan mengambil iktibar atas kesilapan lampaunya.

“Saya juga ingin sampaikan mesej bahawa sekali kita gagal bukanlah bermakna kita gagal selama-lamanya. Kesilapan dan pengalaman adalah guru terbaik dalam hidup manusia.”

Koordinator Projek Reben Kuning Mohammad Rizan Hassan. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Mac, 2021.

Projek Reben Kuning

Projek Reben Kuning merupakan inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan dengan Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Penjara Malaysia pada 19 Oktober 2018 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Koordinatornya Mohammad Rizan Hassan berkata matlamat program tersebut adalah untuk membantu belia bermasalah menikmati kehidupan lebih baik dalam masyarakat melalui platform kemahiran, sukan dan keusahawanan.

Selepas setahun diperkenalkan, Projek Reben Kuning menerima 24,234 penyertaan dari bekas banduan, Orang Diselia (ODS) serta pelatih Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Tunas Bakti, termasuk yang pulih dari dadah. – 6 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen