PUTRAJAYA tidak sepatutnya menangguhkan vaksinasi 70,000 tahanan di penjara bagi mengelakkan lebih banyak kemunculan kluster penjara dan pusat tahanan, kata seorang bekas menteri kesihatan dan seorang pesuruhjaya Suhakam.
Mereka berkata ketika warden penjara diberi suntikan sebagai sebahagian daripada barisan hadapan, kini tepat pada masanya program imunisasi diperluas kepada banduan dalam penjara yang juga termasuk tahanan reman.
Ahli keluarga tahanan memberitahu The Malaysian Insight yang mereka bimbang dengan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan penjarakan sosial dalam penjara.
Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata sangat penting vaksinasi dimulakan di penjara dan pusat tahanan.
“Mulakan dengan menguji banduan dan jika mereka negatif, vaksin mereka segera dengan sekurang-kurangnya satu dos,” katanya
Dzulkefly, yang kini mengetuai pasukan petugas khas koronavirus di Selangor, berkata pihak berkuasa mesti menjadikan persekitaran selamat bagi tahanan kerana itu adalah hak asasi manusia.
Ia juga penting bagi mereka yang akan dibebaskan ke dalam masyarakat, tambahnya.
Dzulkefly memberi amaran kegagalan memberikan suntikan Covid-19 kepada tahanan hanya akan menyebabkan lebih banyak kluster muncul kerana “penjara sangat sesak”.
“Ia seperti kayu mati menunggu percikan api untuk api menyala.”
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulai pada Februari dengan kerajaan meningkatkan vaksinasi bagi mewujudkan imuniti kelompok sebagai usaha mengekang penularan.
Beberapa bulan terakhir, jumlah kes dan kematian Covid-19 terus meningkat, dengan jumlah kes melebihi satu juta, dan kematian melebihi 8,000.
Terdapat juga kluster penjara dan pusat tahanan di negara ini, yang menjangkiti tahanan dan warden serta keluarga mereka. Beberapa penjara dan kakitangan kenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akibat kluster ini.
Awal bulan ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan membincangkan vaksinasi Covid-19 untuk tahanan penjara.
Namun tidak jelas apakah ada sebarang keputusan yang sudah dibuat.
Jabatan Penjara masih tidak memberi maklum balas bagi pertanyaan daripada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph berkata kesesakan di penjara Malaysia akan memudahkan penyebaran virus.
“Kesesakan di penjara menjadikan penyebaran Covid-19 sangat mudah. SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan hampir mustahil diikuti di penjara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jerald berkata satu-satunya langkah selamat yang diambil adalah hampir 100% kakitangan penjara sudah diberikan vaksin.
Katanya, kapasiti maksimum semua penjara di Malaysia adalah 53,000 banduan. Bagaimanapun, statistik terbaru menunjukkan terdapat kira-kira 70,000 tahanan di seluruh negara.
“Di seluruh negara ada 38 penjara dan ketika ini ada lapan penjara sementara yang dibina sepanjang wabak ini,” tambahnya.
Masturah, yang saudaranya berada di penjara Kajang berkata sudah banyak kali mengadu padanya tiada penjarakan sosial di penjara.
“Ada tujuh daripada mereka tinggal dalam satu sel kecil yang menjadikan hampir mustahil untuk menjaga penjarakan sosial.
“Saya tidak pasti mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk memvaksinasi tahanan kerana jumlah kluster penjara selama 12 bulan terakhir sangat tinggi,” kata Masturah yang tidak mahu memberikan nama penuhnya.
Beliau berkata abangnya hidup dalam kebimbangan sekiranya dijangkiti virus.
Awal bulan ini, dua penjara di Sabah - Penjara Kepayan dan Penjara Tawau - menyumbang kepada lebih separuh kes yang direkodkan di negeri ini.
Sehingga Disember 2020, sebanyak 1,160 daripada 66,791 tahanan Malaysia dijangkiti, bersama 125 kakitangan penjara dan anggota keluarga mereka.
Menjelang minggu pertama 2021, kes positif negara meningkat dua kali ganda, dengan kluster penjara baharu ada kalanya menyumbang hingga 20% kes harian baharu.
Menurut World Prison Brief, sekurang-kurangnya 118 negara melebihi kadar penghunian maksimum dan Malaysia melebihi kapasitinya sebanyak 131.1%. – 27 Julai, 2021.
Komen