Syarikat minyak Saudi Aramco rekod untung RM216.89 bilion pada suku kedua


Pendapatan bersih Saudi Aramco melonjak 90% tahun ke tahun bagi pengeluar minyak mentah terbesar dunia itu, yang mencatat rekod suku tahunan kedua berturut-turut selepas mengumumkan AS$39.5 bilion untuk suku pertama. – Gambar EPA, 14 Ogos, 2022.

SYARIKAT gergasi petroleum Arab Saudi, Aramco mendedahkan rekod keuntungan sebanyak AS$48.4 bilion (RM216.89 bilion) pada suku kedua 2022, selepas perang Russia di Ukraine dan lonjakan permintaan pasca pandemik menyebabkan harga minyak mentah melonjak.

Pendapatan bersih melonjak 90% tahun ke tahun bagi pengeluar minyak mentah terbesar dunia itu, yang mencatat rekod suku tahunan kedua berturut-turut selepas mengumumkan AS$39.5 bilion untuk suku pertama.

“Walaupun pasaran global turun naik dan ketidaktentuan ekonomi kekal, peristiwa pada separuh pertama tahun ini menyokong pandangan kami bahawa pelaburan berterusan dalam industri ini adalah penting – kedua-duanya untuk membantu memastikan pasaran kekal dibekalkan dengan baik dan memudahkan peralihan tenaga yang teratur,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Aramco, Amin H. Nasser.

“Malah, kami menjangkakan permintaan minyak mentah akan terus berkembang sepanjang dekad ini, walaupun tekanan ekonomi menurun pada ramalan jangka pendek global.”

Pendapatan bersih meningkat 22.7% daripada suku pertama dalam “keadaan pasaran yang kukuh”, menurut Aramco.

Keuntungan setengah tahun ialah AS$87.9 bilion, meningkat daripada $47.2 bilion untuk tempoh yang sama 2021.

Syarikat itu membayar dividen AS$18.8 bilion pada suku kedua dan akan mengeluarkan jumlah yang sama pada suku ketiga.

Keuntungan suku tahunan, tertinggi sejak pengapungan Aramco pada akhir 2019, mengatasi ramalan penganalisis sebanyak AS$46.2 bilion.

Saham Aramco kini berharga 40.8 riyal (AS$10.9) menjelang pembukaan bursa saham Saudi hari ini.

Aramco mengapungkan 1.7% sahamnya di bursa Saudi pada Disember 2019, menjana AS$29.4 bilion dalam tawaran awam permulaan terbesar di dunia.

“Permata mahkota” dan sumber pendapatan utama bagi kerajaan konservatif itu menggantikan Apple buat sementara waktu sebagai syarikat paling bernilai di dunia pada Mac. Ia kini berada di tempat kedua.

Arab Saudi berusaha membuka dan mempelbagaikan ekonominya yang bergantung kepada minyak, terutamanya sejak pelantikan Mohammed bin Salman sebagai putera mahkota dan pemerintah de facto pada 2017. – AFP, 14 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen