Amanah adakan bantahan kenaikan harga


Perhimpunan melibatkan kira-kira 60 ahli dan penyokong parti Amanah bermula selepas solat Jumaat berhampiran masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Julai, 2022.

KIRA-KIRA 60 ahli dan penyokong parti Amanah mengadakan bantahan secara aman hari ini terhadap ketidakupayaan kerajaan untuk mengekang kenaikan harga.

Perhimpunan itu bermula selepas solat Jumaat berhampiran masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Naib Presiden Adly Zahari dan Exco Selangor, Izham Hashim.

“Ini perlu dihentikan, kenaikan harga barang semakin membebankan rakyat setiap hari,” kata Adly.

Penunjuk perasaan itu mengangkat sepanduk bertulis “BN = Barang Naik” dan “Kembalikan subsidi barang makan”.

Adly berkata kerajaan sepatutnya menyelesaikan semua masalah ini semasa pandemik Covid-19.

“Kerajaan diberi RM4.4 bilion untuk subsidi, tetapi di mana? Justeru, kami membuat bantahan hari ini,” katanya.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menukar kerajaan dan sedar kami boleh memimpin negara dengan lebih baik lagi.”

Orang ramai bersurai pada 2.30 petang.

Bermula hari ini, subsidi minyak masak botol sebanyak 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg tamat.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan harga siling runcit baharu ayam pada RM9.40 sekilogram, berkuat kuasa hari ini.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 50 sen daripada harga sebelumnya iaitu RM8.90 sekilogram.

Sementara itu, harga siling baharu telur ayam di semenanjung ialah 45 sen sebiji (gred A), 43 sen sebiji (gred B) dan 41 sen sebiji (gred C). – 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen