PUTRAJAYA tidak seharusnya mengetepikan tugas negara bagi membantu kedua-dua kumpulan M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan penarikan subsidi, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata rakyat Malaysia dalam kumpulan M40, mereka yang berpendapatan bulanan isi rumah antara RM4,851 dan RM10,970, terasa dilupakan dan disisihkan Putrajaya.
Katanya, ini berikutan penarikan subsidi minyak masak (kecuali pek 1kg), telur dan ayam berkuat kuasa hari ini.
“Isi rumah B40 berpendapatan hingga RM4,850 sebulan mendapat sedikit bantuan kewangan daripada kerajaan untuk menangani pemansuhan subsidi itu dengan pemberian RM100 bagi setiap isi rumah dan RM50 untuk bujang.
“Untuk M40, mereka tidak mendapat apa-apa. Kerajaan harus memberi sedikit bantuan dengan mengambil kira mereka seperti di B40, ramai dalam M40 membelanjakan lebih 25% daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Bekas menteri kewangan itu berkata pendapatan rakyat Malaysia berkurangan susulan kemerosotan mendadak nilai ringgit yang menjunam ke paras terendah berbanding dolar Singapura dan Amerika Syarikat, dua daripada tiga rakan dagangan terbesar.
“Sama-sama teruk ialah kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19 sejak 2020 malangnya menyebabkan lebih 580,000 isi rumah M40 tergelincir kembali ke dalam kategori B40.
“PKS berdepan masalah yang sama kerana tidak mendapat bantuan yang mencukupi daripada kerajaan untuk menampung kenaikan harga.”
Beliau berkata, kos operasi PKS bertambah dengan kekurangan tenaga buruh yang teruk disebabkan ketidakcekapan kementerian dan kerenah birokrasi.
“Kerajaan persekutuan tidak boleh mengkhianati tugas negara untuk membantu kedua-dua kumpulan tersebut, M40 dan PKS,” kata Lim. – 1 Julai, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen