Masalah dalaman Bersatu bukan masalah kami, kata Umno 


Melati A. Jalil

Khairy Jamaluddin (tengah) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) menafikan tuduhan kononnya ahli Umno punca berlakunya pergolakan dalam Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Februari, 2018.

PEMIMPIN Umno hari ini menyangkal dakwaan yang ahli partinya menjadi punca berlakunya pergolakan dalam Bersatu.

Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan pekara itu sementara setiausaha agung parti itu Tengku Adnan Tengku Mansor berkata yang isu dalaman Bersatu adalah masalah parti itu sendiri.

“Bukan sahaja kami nafikan, malah tak wujud pun perkara sebegitu.

“Saya boleh jamin dekat anda yang ianya bukan kerja ahli Umno,” kata Khairy kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional di Kuala Lumpur.

Sebelum ini pemimpin Bersatu menuduh ahli Umno sebagai dalang serangan terhadap parti itu yang dilakukan dari dalam bagi menghalang mereka menjadi pencabar utama Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor berkata ada percubaan untuk menghalang Bersatu dari bertanding dalam PRU14.

Kenyataannya itu berikutan protes oleh ahli dan bekas ahli Bersatu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Pada Khamis, lebih kurang 1,000 orang yang mendakwa sebagai ahli Bersatu mengadakan perhimpunan menuntut RoS bertindak terhadap pemimpin parti itu.

Antara mereka yang hadir dalam protes itu termasuklah bekas pemimpin senior Bersatu yang berkata pemimpin parti itu telah melanggar perlembagaan parti sendiri.

Susulan itu, timbalan presiden Beratu Mukhriz Mahathir mendakwa protes itu didorong oleh dedak yang diberikan Umno.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata Umno tidak mencampuri urusan parti lain.

“Itu masalah mereka, bukan kami.

“Mereka sendiri yang tak tahu jaga parti sendiri. Mereka patut selesaikan masalah mereka itu sendiri,” kata Tengku Adnan. – 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • masalah dalaman yg berlaku sesama ahli Bersatu tak perlulah nak kaitkan dgn pemimpin Umno pulak. kalau semua perkara pembangkang nak letak kesalahan pada kerajaan, nampak sgt pemimpin dan ahli Bersatu tak berkaliber utk selesaikan masalah. macam mana nak dapat mandat rakyat ?

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Nafi atau tidak, rakyat tahu pekerjaan siapa....

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Emir Khairil Ahmad · Ulasan