Bersatu dakwa Umno dalang ‘serangan dari dalam’


Amin Iskandar

Bersatu kini menjadi sasaran siasatan RoS berkaitan dakwaan melanggar Perlembagaan parti dan penganjuran AGM tidak sah. Tetapi menurut kepimpinannya, ia adalah serangan terancang didalangi Umno dan Jabatan Perdana Menteri menjelang PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2018.

BERSATU mendakwa Umno menjadi dalang serangan terhadap parti itu dilakukan dari dalam bagi menghalang mereka menjadi pencabar utama Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kepimpinan Bersatu berkata antara punca kepada masalah ini ialah sewaktu awal penubuhannya, Bersatu tidak begitu menapis ahli-ahli yang menyertai parti itu menyebabkan Umno dapat menghantar “agen mereka”.

“Kelihatan seperti ada usaha untuk menghalang Bersatu bertanding pada PRU14. 

“Ujiannya begini, selepas PRU14 nanti, apakah ‘mereka-mereka’ ini akan terus protes?

“Saya rasa pemberi dana mereka Umno juga tidak mahu beri dana selepas PRU14. Semua ini hanya dilakukan ketika menjelang PRU14,” kata Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor.

Kamaruddin berkata, ahli-ahli Bersatu yang protes di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini, “ada yang ahli dan ada yang bukan ahli”.

“Yang peliknya, kalau benar mereka sayangkan parti, mengapa perlu protes menjelang PRU14? Mengapa tidak gunakan saluran dalam parti?” katanya.

Pada Khamis, kira-kira 1,000 ahli akar umbi Bersatu mengadakan perhimpunan aman di hadapan Ibu Pejabat RoS bagi mendesak tindakan dikenakan terhadap parti berkenaan.

Perhimpunan yang bermula pada pukul 2.30 petang itu turut disertai bekas pimpinan kanan parti berkenaan yang tidak berpuas hati tindakan Bersatu kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti itu sendiri.

“Macam-macam jenis orang masuk Bersatu, termasuklah yang dihantar oleh Umno.

“Ada yang aktif sebagai ahli, ada yang hanya ahli pada nama sahaja. Tidak aktif pun,” kata Kamaruddin.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Akramshah Sanusi berkata, sebenarnya serangan bukanlah dari dalam parti tetapi merupakan serangan Umno dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) ke atas Bersatu.

“Mereka menunggang sama ada bekas ahli kita, agen-agen ‘musang berbulu ayam’ di dalam parti mahupun segelintir ahli Bersatu yang lebih muda dan senang terkalih dengan bayaran RM50 seorang sahaja,” kata anak kepada bekas pemimpin kanan Umno Sanusi Junid itu.

Akramshah berkata, hampir 60% daripada ahli Bersatu adalah bekas ahli Umno.

60 peratus ahli Bersatu adalah bekas ahli Umno, ada yang menyembunyikan mereka masuk Bersatu kerana tidak mahu diri atau keluarga mereka 'dihukum' parti pemerintah, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Akramshah Sanusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2018.

“Maksudnya, sudah beratus-ribu ahli meninggalkan Umno, tetapi kita tak war-warkan perkara ini. 

“Ramai juga ahli Bersatu menyertai parti secara sulit dan tak mahu dikhabarkan kepada Umno memandangkan masih ramai menimba rezeki dari program, projek mahupun pekerjaan yang berkait dengan kerajaan. 

“Mereka tidak mahu diri atau keluarga dihukum semata-mata kerana meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu. Kita faham perkara ini,” katanya.

Menurut Akramshah, disebabkan itu Bersatu sebenarnya tidak hairan apabila “hanya beberapa ratus ahli sahaja yang keluar dari parti tempoh hari untuk kembali ke pangkuan Umno”.

“Baguslah kalau mereka ini keluar, ia membenarkan kita meneruskan perjuangan Bersatu dengan ahli-ahli yang lebih ikhlas mahu membawa harapan baru serta memulihkan nasib rakyat Malaysia,” katanya.

Kamaruddin dan Akramshah bagaimanapun berkata, Bersatu akan tetap berjaga-jaga bagi memastikan tiada pembelotan calon semasa PRU14.

“Untuk memastikan calon PRU14 tidak belot, Bersatu akan membuat tapisan. 

“Akan ada semacam ‘ikatan’ antara parti dan calon. Tetapi semua ini hanya ikhtiar. Selebihnya kita hanya berserah kepada Allah,” kata Kamaruddin.

Akramshah berkata, Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH) juga ada berbincang bagi memastikan tidak berlaku isu pembelotan calon pada PRU14.

“Tetapi akhirnya, yang pasti dapat mengelakkan perkara ini daripada berlaku ialah dengan tsunami rakyat, terutama tsunami Melayu di kubu-kubu Umno, sehingga majoriti serta jumlah kerusi PH menjadi terlalu besar untuk dilakukan pembelian atau pembelotan calon. 

“Kita perlu seluruh rakyat keluar mengundi untuk memastikan kekalahan Barisan Nasional serta kemenangan PH,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, menjelang PRU14 yang semakin hampir, sudah menjadi kebiasaan “drama serangan bukan sahaja dari luar parti tetapi juga di dalam parti”.

“Serangan dari dalam parti sendiri dijangka berakhir dengan keluar parti, seterusnya episod-episod pendedahan kelemahan dalaman parti akan berlaku sepanjang menjelang PRU14, pembubaran dan kempen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut menambah yang serangan dari dalam itu berlaku kerana wujud tidak puas hati dalam kalangan ahli berkaitan isu dalaman parti yang tidak diselesaikan dengan betul.

“Tidak dinafikan serangan dari dalam ini akibat ketidakpuasan terhadap isu dalaman parti sendiri. 

“Namun tak diselesaikan dengan saluran yang betul dan diketengahkan kepada media. Semacam satu drama biasa dalam politik Malaysia dalam suasana hangat ini.”– 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • amboi amboi amboi.. dan2 je nak salahkan orang lain pulak. dah kau sendiri tak dapat nak bendung pergolakan dalam parti kau, kau tuduh orang lain pulak jadi dalang. susah sangat ke nak mengaku yang dalaman bersatu sedang merosak? mengaku je. orang boleh terima la.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan