Pekerja McDonald di New York ditembak kerana hidang kentang goreng sejuk


Seorang pekerja McDonald ditembak kerana hidang kentang goreng sejuk kepada pelanggan. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2022.

SEORANG lelaki di New York didakwa dengan percubaan membunuh selepas dikatakan menembak seorang pekerja McDonald kerana menghidangkan kentang goreng sejuk kepada ibunya, kata polis dan laporan.

Banyak insiden tembakan berlaku setiap hari di bandaraya itu.

Dalam kes terbaru ini, Michael Morgan, 20, menembak pekerja McDonald’s berusia 23 tahun di Brooklyn pada petang Isnin, menurut polis dan New York Post.

Mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Insiden itu bermula dengan pertengkaran antara seorang wanita berusia 40 tahun dan mangsa, yang didakwa memberinya kentang goreng sejuk, kata tabloid itu.

Wanita berkenaan membuat panggilan video kepada anaknya Morgan, yang bergegas ke restoran makanan segera dan bertengkar dengan pekerja itu sebelum mereka berdua keluar.

Morgan kemudian menembak pekerja itu, menurut sumber polis yang dipetik oleh New York Post.

Tertuduh pernah ditahan beberapa kali atas pelbagai jenayah, kata tabloid itu.

Morgan juga didakwa dengan tuduhan memiliki senjata api yang berisi peluru, kata jurucakap Jabatan Polis New York kepada AFP.

Jumlah mangsa tembakan di New York turun hampir 9% berbanding tahun lalu, kepada 988 daripada 1,051, menurut statistik mingguan dari NYPD.

Terdapat hampir 120 senjata api bagi setiap 100 orang di Amerika Syarikat, menurut kumpulan Small Arms Survey.

Lebih 45,000 orang terbunuh pada 2020 disebabkan senjata api, separuh daripada mereka membunuh diri, menurut Arkib Keganasan Senjata. – AFP, 4 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen