McDonald's kehabisan hash brown di beberapa premis di Taiwan


McDonald's Taiwan mengimport bekalan hash brownnya dari Amerika Syarikat.– Gambar Facebook, 7 Januari, 2022.

MCDONALD’S Taiwan berkata pada hari Jumaat beberapa kedainya kehabisan hash brown yang diimport dari Amerika Syarikat dan perlu menggantung jualan kerana bekalan penghantaran global yang tidak stabil.

Syarikat itu memasang papan tanda di beberapa premisnya yang mengumumkan penggantungan sementara item itu disenaraikan sebagai “tidak tersedia buat sementara waktu” pada menunya.

“Terdapat kekurangan hash brown di restoran McDonald’s dan jualan akan digantung buat sementara waktu selepas ia habis dijual,” kata kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat itu.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka dan kami memohon maaf atas kesulitan,” tambahnya.

McDonald’s Taiwan berkata ia menyasarkan untuk menyambung semula penjualan hash brown pada separuh kedua bulan ini selepas menambah stok semula, dan menambah bahawa jualan kentang goreng adalah biasa.

Kekurangan rantaian bekalan berlaku di seluruh dunia semasa pandemik koronavirus yang menjejaskan segala-galanya daripada bahan binaan, kayu dan makanan kepada buku, mikrocip dan elektronik.

Bulan lalu, McDonald’s di Jepun berkata ia perlu mencatu kentang goreng kerana pandemik yang ditambah dengan banjir di Kanada telah menyekat import kentang.

Hanya kentang goreng bersaiz kecil dijual selama seminggu di negara ini untuk mengelakkan kekurangan akibat kelewatan bekalan kentang, katanya sambil menambah bahawa pemerolehan bahan sumber yang stabil adalah sukar. – AFP, 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen