McDonald's Malaysia bayar zakat RM1 juta tahun ini


Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya berkata, pihaknya mula membayar zakat sejak 2017 setelah diambil alih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

MCDONALD’S Malaysia membayar zakat perniagaan berjumlah RM1 juta tahun ini kepada semua 14 negeri di Malaysia sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte.Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya Azmir Jaafar berkata, pihaknya mula membayar zakat sejak 2017 setelah diambil alih.

“McDonald’s Malaysia menyampaikan zakat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam dua majlis berasingan minggu ini.

“Zakat adalah satu daripada lima rukun Islam dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi lebih daripada 300 restoran di seluruh negara ini, kami berharap sumbangan kami akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutama dalam suasana hidup semasa yang penuh dugaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP dan sijil-sijil itu melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.

Beliau berkata syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk terus menegakkan komitmen halal kepada para pelanggannya dalam semua aspek perniagaan. – Bernama, 18 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen