Indira pertikai kenapa PM, kerajaan gagal cari anaknya


Ravin Palanisamy

M Indira Gandhi menunjukkan gambar anak bongsunya, Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya ketika baru berusia 11 bulan, 13 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2022.

M. INDIRA Gandhi yang masih lagi belum dapat menemui anak perempuannya yang terpisah sejak 13 tahun lalu walaupun menerima perintah Mahkamah Persekutuan, mempersoalkan perdana menteri dan kerajaan: mengapa tiada pasukan petugas khas menyiasat kesnya itu.

Ibu tunggal itu berkata beliau bosan dengan kerajaan kerana kurang usaha dan minat untuk menjejaki dan menemukan semula anaknya, Prasana Diksa yang dibawa bekas suaminya K. Padmanathan, yang memeluk Islam pada 2000 dan menukar nama kepada Muhammad Riduan Abdullah.

Prasana berusia 11 bulan ketika diambil Riduan dan usianya 14 tahun ini.

“Kami penat dan bosan kerana berulang kali meminta kerajaan tubuhkan pasukan petugas khas kerana setiap kali ditanya, jawapan berbeza diberi, dan ia tidak relevan dalam mencari Prasana.

“Sudah 13 tahun dia diambil daripada saya. sebagai ibu, apa yang saya mahu ialah di mana Prasana sekarang dan bagaimana keadaannya,” katanya yang juga bekas guru tadika kepada The Malaysian Insight.

Desakan Indira untuk pasukan petugas khas ditubuhkan dibuat selepas keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tahun lalu untuk menubuhkan jawatankuasa khas dan dua pasukan petugas khas untuk menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, seperti didakwa bekas peguam negara Tommy Thomas menerusi bukunya, dan juga perbalahan Batu Puteh.

Pada 2009, Riduan secara sebelah pihak menukar agama tiga anak termasuk Prasana kepada Islam, menggunakan sijil kelahiran mereka dan tanpa kebenaran serta pengetahuan Indira.

Pada 2018, dalam satu keputusan, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama sebelah pihak bagi anak Indira.

Mahkamah tertinggi itu menegaskan pembatalan pertukaran agama oleh hanya ibu atau bapa dan hak jagaan anak dikekalkan kepada ibu.

Indira kini menunggu Riduan dikesan dan Prasana dikembalikan kepadanya seperti perintah mahkamah.

Riduan kini melarikan diri selepas melanggar perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk mengembalikan Prasana, membawa kepada writ mandamus oleh mahkamah mengarahkan ketua polis negara (KPN) menahannya.

Indira berkata kerajaan hanya bercakap saja tentang kesnya itu, tetapi tiada tindakan kukuh diambil bagi menyelesaikannya.

“Kami tidak mahu perkara ini menjadi isu politik, atau menjadi isu kaum atau agama.

“Kami hanya minta sesiapa pun, sama ada perdana menteri atau orang awam, siapa pun juga yang kenal Prasana, tolong cari dia dan beri kami maklumat.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan siapa pun tetapi semua orang hanya cakap saja tanpa ambil tindakan,” katanya.

Indira mendakwa kerajaan termasuk polis kelihatan tidak berminat dengan kesnya itu.

“Polis yang sepatutnya menjadi harapan kami, tapi menghampakan. Walaupun mahkamah beri perintah yang Prasana sepatutnya bersama saya, polis masih gagal membawanya kepada saya,” katanya.

Pada 2019, KPN pada masa itu, Mohamad Fuzi Harun mendedahkan polis menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan Prasana dan menyerahkannya kepada Indira.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada masa itu, Huzir Mohamed ditugaskan mengetuai pasukan itu.

India mendakwa pasukan itu bagaimanapun tidak memberinya atau Indira Gandhi Action Team (INGAT) sebarang kemas kini sejak ia ditubuhkan. – 2 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen