Indira Gandhi harap KPN baharu berusaha keras cari anak


Noel Achariam

Harapan M. Indira Gandhi menggunung tinggi agar Ketua Polis Negara baharu Acryl Sani Abdullah Sani dapat mencari anaknya Prasana Diksa yang dilarikan bekas suami 13 tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2021.

M. Indira Gandhi mempunyai harapan tinggi kepada Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Acryl Sani Abdullah Sani dalam mencari anak perempuannya yang hilang.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, Acryl akan menjadi KPN keenam yang mengambil kesnya untuk mencari Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya 13 tahun lalu.

“Tidak kira siapa KPN, saya harap sesiapa boleh tolong pulangkan anak perempuan saya kembali.

“Saya harap KPN ini dapat selesaikan masalah ini dan tidak melambatkan kerana sudah 13 tahun.”

Semalam, Acryl dinobatkan sebagai IGP baru, menggantikan Abdul Hamid Bador, yang akan bersara pada 3 Mei.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, menyerahkan watikah pelantikan kepada Acryl berkata, Suruhanjaya Polis telah bersetuju untuk melantik Acryl sebagai KPN baharu.

Acryl dilantik sebagai timbalan kepada Abdul Hamid Bador pada 2020, menggantikan Mazlan Mansor.

Sebelum menjadi timbalan, Acryl merupakan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Dalam masa sama, Indira turut menyerang Hamid kerana tidak menunaikan janji mencari anak perempuannya.

“Berhentilah bagi alasan atas apa kamu (Hamid) gagal buat. Dia cuba bersihkan apa yang dia tak selesaikan (janjinya) untuk mengesan Prasana.”

Semalam Hamid dalam sidang media terakhirnya berkata campur tangan Indira telah mengganggu usaha polis menyatukan kembali dengan anak perempuannya.

Hamid berkata, beliau meminta Indira untuk memberi lebih banyak masa kepada polis dan tidak campur tangan dalam siasatan dengan membuat kenyataan mengganggu kerja polis.

Indira berkata mereka telah mengirim tujuh surat kepada Hamid untuk mengadakan pertemuan tetapi tidak berhasil.

“Itu anak perempuan saya, kenapa saya tak boleh masuk campur? Kenyataannya itu lawak.”

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) dan Indira juga mengkritik polis kerana gagal mencari gadis itu selain memfailkan saman RM100 juta terhadap Hamid dan polis.

Bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, pada 2014, diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengembalikan Prasana ke Indira tetapi gagal melakukannya, menyebabkan mahkamah memerintah polis menangkapnya.

Pada 2018, Indira menang kes undang-undang yang memakan masa 10 tahun itu bagi mendapatkan hak menjaga Prasana.

Mahkamah Persekutuan pada Januari tahun lalu membatalkan pertukaran agama tiga anaknya secara sepihak kepada Islam.

Dua anak yang lebih tua tinggal bersama Indira dan dibesarkan sebagai penganut agama Hindu. Prasana telah hilang sejak bayi. – 2 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen