PASUKAN penyiasat di timur Republik Demokratik Congo (DRC) berkemampuan untuk menentukan sama ada pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membunuh orang awam atau sebaliknya, lapor Xinhua, memetik pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu pada Rabu.
“Kami boleh mengesan senjata kami,” kata Pemangku Ketua Misi Penstabilan Organisasi PBB di negara itu Khassim Diagne kepada wartawan semasa taklimat secara sidang video dari Kinshasa, DRC.
Diagne membuat kenyataan itu selepas 15 orang, termasuk seorang anggota pasukan pengaman dan dua pegawai polis PBB, terbunuh semasa protes yang menyasarkan misi pengaman PBB sejak Isnin lalu di wilayah timur laut Kivu Utara.
Beberapa media tempatan melaporkan penunjuk perasaan ditembak oleh pasukan pengaman.
“Kita akan tahu jika ia tembakan dari PBB dan pakar forensik dari ibu negara DRC akan dihantar untuk menyiasat sama ada pasukan pengaman telah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
“Jika kami yang menembak ... ia akan mencetuskan bencana kerana terdapat beribu-ribu orang memanjat dinding dan menyerbu ke kawasan itu,” kata Diagne mengulas mengenai serangan di Goma, ibu negara Kivu Utara.
Tembakan amaran dilepaskan ke udara untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang menurutnya bertujuan menjaga keselamatan orang awam. – Bernama, 28 Julai, 2022.
Komen