Mahkamah PBB arah Uganda bayar Congo AS$325 juta pampasan perang


ICJ memerintahkan Uganda membayar Republik Demokratik Congo AS$325 juta sebagai pampasan perang. – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

MAHKAMAH tertinggi PBB pada Rabu memerintahkan Uganda membayar Republik Demokratik Congo AS$325 juta sebagai ganti rugi ke atas perang kejam dua dekad lalu, hanya sebahagian kecil daripada AS$11 bilion yang dituntut oleh Kinshasa.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah tamparan kepada DR Congo selepas perjuangan undang-undang yang panjang bagi pampasan berhubung konflik 1998-2003 dahsyat yang menyebabkan ribuan orang terkorban.

Hakim di ICJ yang berpangkalan di Hague berkata Kinshasa gagal menunjukkan bukti negara jiran Afrika tengahnya bertanggungjawab secara langsung terhadap mana-mana lebih 15,000 kematian dalam perang lima tahun itu.

“Mahkamah menetapkan jumlah pampasan yang diberikan kepada DRC, iaitu AS$325 juta,” kata Ketua Hakim ICJ Joan Donoghue ketika membacakan penghakiman itu.

Uganda perlu membayar AS$225 juta bagi kerosakan terhadap manusia, AS$40 juta kerosakan harta benda, dan AS$60 juta untuk kerosakan sumber asli, kata Donoghue.

Pada 2005, ICJ memutuskan Uganda perlu membayar ganti rugi, tetapi ia tidak pernah dibayar, dan Kinshasa kemudian menuntut lebih AS$11 bilion bagi pendudukan wilayah Ituri timur laut.

Donoghue berkata terdapat “bukti tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan DRC mengenai 180,000 kematian orang awam yang mana Uganda berhutang ganti rugi.”

“Mahkamah menganggap bukti dikemukakan kepadanya menunjukkan jumlah kematian yang perlu dibayar ganti rugi Uganda adalah dalam lingkungan 10,000 hingga 15,000 orang,” tambahnya.

Pada kemuncaknya, konflik itu menarik sembilan negara di Afrika, dengan Uganda dan Rwanda menyokong pasukan pemberontak menentang kerajaan Kinshasa ketika mereka berebut untuk menguasai wilayah Ituri yang kaya dengan mineral. – AFP, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen