Wartawan dibunuh di timur Congo


Wartawan itu dibunuh dengan cara dikelar lehernya di North Kivu, kawasan paling bahaya di Congo di mana pembantaian dan pertempuran melibatkan kumpulan bersenjata kerap terjadi. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2021.

SEORANG wartawan penyiar nasional Republik Demokratik Congo dikelar lehernya di North Kivu di mana pembantaian dan perbalahan melibatkan kumpulan bersenjata telah berlaku sejak bertahun-tahun.

Heritier Magayane, 26 yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu bertugas di Radio Televisyen Congo di Rutshuru sejak 2018, kata rakannya Roger Sebyeradu kepada AFP.

Mendiang mendapat panggilan telefon dari seseorang yang mengatur tempat untuk menemuinya dan di situlah Magayane dibunuh pada Sabtu, lehernya dikelar, kata Luc Albert Bakole Nyengeke, pentadbir tentera Rutshuru.

Wilayah itu dipenuhi pelbagai kumpulan bersenjata namun kawasan di mana mendiang dibunuh dikawal oleh tentera Congo, katanya, menambah siasatan sedang dijalankan pada Ahad.

Rakan sekerjanya Sebyeradu berkata beliau berpendapat pembunuhan Magayane ada kena mengena kerjanya. 

“Setelah membunuhnya, mereka ambil telefonnya,” katanya.

Magayane buat program untuk golongan muda, menasihati mereka untuk “memberi ruang damai” di wilayah yang sangat tidak stabil itu, tambahnya.

North Kivu dan Ituri berada dalam keadaan terkepung sejak tiga bulan, tindakan terkuat di bawah perlembagaan, ketika pemerintah berusaha mengakhiri endemik di situ.

Kekuasaan sivil di dua wilayah itu diserahkan kepada seorang gabenor tentera dan seorang wakil gabenor dari polis, sementara tugas pemerintah wilayah dipindahkan kepada pihak berkuasa tentera. – AFP, 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen