Ahli Parlimen pembangkang selar kerajaan lewat lantik pesuruhjaya Suhakam


Ravin Palanisamy

Ahli politik pembangkang berkata kelewatan kerajaan Ismail Sabri Yaakob melantik pesuruhjaya Suhakam jelas menunjukkan kekurangan minat dalam isu hak asasi manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

KELEWATAN kerajaan Ismail Sabri Yaakob melantik pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) jelas menunjukkan Putrajaya kurang minat dalam isu hak asasi manusia, kata ahli politik pembangkang.

Mereka berkata tindakan Putrajaya yang lambat mengisi jawatan kosong berkenaan tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata ini mencerminkan bahawa isu hak asasi manusia bukanlah keutamaan utama kerajaan Ismail walaupun Suhakam adalah agensi kerajaan.

Walaupun Malaysia dipilih untuk menyertai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas Santiago berkata Malaysia tidak menunjukkan sebarang komitmen terhadap usaha itu.

Beliau berkata kegagalan kerajaan dalam mencari pengganti kepada jawatan kosong itu adalah satu contoh jelas tentang kekurangan minat mereka dalam hal hak asasi manusia.

“Ini sebenarnya mencerminkan komitmen kerajaan terhadap hak asasi manusia di negara ini.

“Apa yang lebih teruk ialah Suhakam adalah agensi kerajaan di mana anda fikir isu hak asasi manusia akan menjadi keutamaan lebih-lebih lagi kita berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia.

“Jelas sekali itu tidak berlaku dan terdapat kekurangan komitmen,” kata ahli Parlimen Klang itu kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen DAP Charles Santiago kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mengutamakan isu hak asasi manusia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

Pada April lima pesuruhjaya Suhakam - Mah Weng Kwai, Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh, Loke Yim Pheng, Godfrey Gregory Jaitol dan Jerald Joseph - meletak jawatan selepas menamatkan tempoh mereka. Kesemua mereka menamatkan dua penggal selama tiga tahun setiap satu.

Mereka memulakan perkhidmatan sebagai pesuruhjaya Suhakam pada 2016, berkhidmat sehingga 2019 dan tempoh mereka dilanjutkan sehingga tahun ini. Di bawah Seksyen 5(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, penggal ketiga tidak dibenarkan.

Baki empat pesuruhjaya memulakan perkhidmatan mereka pada 2019 dan baru sahaja menamatkan penggal pertama mereka, bermakna mereka layak untuk berkhidmat satu penggal lagi. 

Santiago berkata tiada kemahuan politik untuk mengejar dan mempromosikan hak asasi manusia walaupun adanya agensi.

“Laporan Suhakam belum dibahaskan di Parlimen. Ini menunjukkan di mana keutamaan kerajaan,” katanya.

Santiago juga menyelar Ismail dan konsep Keluarga Malaysianya dnegan mengatakan demokrasi dan hak asasi manusia jelas tidak wujud.

“Ia tak wujud. Perdana menteri tidak bercakap mengenainya.

“Sepanjang enam bulan lepas sebagai perdana menteri beliau tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi.

“Sekiranya perdana menteri berminat saya fikir beliau harus menyatakan sesuatu mengenai komitmen terhadap hak asasi manusia, demokrasi dan kedaulatan undang-undang secara terbuka sebagai sebahagian daripada ciri Keluarga Malaysia,” katanya. – 9 Jun, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen