Hanya 10.5% manfaatkan pemeriksaan kesihatan percuma Peka B40


Peka B40 ialah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit. – Gambar Facebook, 7 Jun, 2022.

HANYA 10.5% atau lebih 620,000 daripada 5.9 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan pendapatan 40% terbawah (B40) memanfaatkan skim pemeriksaan kesihatan percuma PeKa B40 setakat 31 Mei lepas, menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Susulan jumlah individu memanfaatkannya yang rendah, syarikat milik Kementerian Kesihatan (KKM) itu akan mengadakan taklimat di seluruh negara dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri untuk meningkatkan kesedaran mengenai kempen tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Dr Anas Alam Faizli berkata menjadi satu cabaran besar untuk memenuhi sasaran mendapatkan semua 5.9 juta rakyat Malaysia yang layak disaring.

“Skim PeKa B40 dilancarkan pada April 2019 tetapi masih terdapat jurang besar antara jumlah yang layak dan jumlah mereka yang telah menggunakan skim itu,” katanya ketika memberi taklimat kepada pemberita di Millennium Clinic di Labuan, hari ini.

Beliau berkata Perlis, Kedah dan Kelantan mencatatkan kadar saringan tertinggi pada 17%, diikuti Negeri Sembilan dengan 14%, Melaka dan Sarawak (13%), Perak (12%), Pulau Pinang (11%) dan Putrajaya (10%).

Negeri dengan kadar di bawah 10% ialah Terengganu dan Sabah (9%), Johor (7%), Pahang (5%), dan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor (4%).

“Kita sepatutnya dapat memenuhi jumlah yang layak disaring di Labuan dalam tahun ini kerana berdasarkan rekod, 12,631 rakyat Malaysia layak untuk skim itu tetapi hanya 506 menjalani pemeriksaan kesihatan percuma itu.

“Di Labuan, kami mempunyai tujuh klinik swasta yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma PeKa B40. Kami berharap mereka yang layak dapat menggunakan sepenuhnya skim ini,” katanya

Anas berkata faedah yang ditawarkan di bawah skim saringan Peka B40 termasuk bantuan untuk membeli peralatan perubatan sehingga RM20,000, insentif selesai rawatan kanser RM1,000, dan insentif pengangkutan maksimum RM500 di Semenanjung Malaysia dan RM1,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pemeriksaan kesihatan boleh dijalankan di klinik kesihatan dan hospital KKM serta klinik kesihatan, dan penerima Bantuan Prihatin Rakyat serta pasangan berdaftar mereka layak menerima skim tersebut.

Anas berkata pemeriksaan kesihatan adalah penting untuk pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) yang jika tidak diurus boleh menyebabkan peningkatan penyakit kardiovaskular, yang akan mengakibatkan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi untuk individu dan kerajaan. – Bernama, 7 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen