SATU daripada empat pusat kesihatan di seluruh dunia kekurangan akses kepada air menjadikan sekitar 1.8 bilion orang berisiko dijangkiti koronavirus, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Kekurangan kemudahan asas ini membahayakan pesakit dan kakitangan di pusat-pusat tersebut, kata WHO dalam laporan bersama dengan agensi kanak-kanak PBB Unicef.
Kajian ini berdasarkan data dari 165 negara.
“Bekerja di kemudahan kesihatan tanpa air, sanitasi dan kebersihan sama seperti menghantar jururawat serta doktor bekerja tanpa alat pelindung diri,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Unsur ini adalah asas untuk menghentikan Covid-19. Tetapi masih ada jurang besar yang perlu diatasi terutama di negara-negara yang paling maju.
Menurut angka WHO, ketika golongan professional kesihatan merangkumi kurang dari tiga peratus populasi, mereka menyumbang 14% kes Covid-19 yang dicatatkan di seluruh dunia.
“Menghantar pekerja kesihatan dan orang yang memerlukan rawatan ke kemudahan tanpa air bersih, tandas yang selamat atau sabun akan membahayakan nyawa mereka,” kata Ketua Unicef Henrietta Fore.
Laporan itu juga mendapati bahawa satu daripada tiga kemudahan kesihatan di seluruh dunia tidak menjamin kebersihan tangan sementara satu daripada 10 tidak memiliki akses kepada perkhidmatan sanitasi.
Angka itu lebih buruk lagi bagi 47 negara paling kurang maju di dunia di mana separuh daripada pusat kesihatan tidak mempunyai akses kepada air minuman, satu perempat tidak memiliki akses kepada air untuk tujuan kebersihan dan tiga daripada lima kekurangan perkhidmatan asas sanitasi.
WHO dan Unicef mengira bahawa sekitar $1 bagi setiap penghuni untuk menyediakan perkhidmatan asas air di pusat kesihatan di negara ini dan masing-masing 20 sen untuk mengekalkan kemudahan tersebut setiap tahun. – AFP, 14 Disember, 2020.
Komen