Zafrul kena utamakan kerja, bukannya Kuala Selangor, kata naib presiden Umno


Naib Presiden Umno Khaled Nordin hari ini mengingatkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz supaya tidak sibuk memikat hati pengundi Kuala Selangor sedangkan ketika ini keutamaan negara ialah untuk mengatasi krisis ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2022.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Aziz sepatutnya memberi keutamaan untuk mengatasi krisis ekonomi, bukannya sibuk tawan hati pengundi Kuala Selangor, kata Khaled Nordin.

Naib presiden Umno itu berkata Perbendaharaan tidak perlu menjadikan mana-mana kawasan Parlimen sebagai “daerah angkat”.

Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata ini adalah satu dasar sasau dan keliru sedangkan menteri kewangan sepatutnya tangani hal yang lebih penting dan mendesak.

Katanya Putrajaya wajib memberi tumpuan kepada menangani isu seperti kenaikan harga makanan, harga minyak masak, dan masalah berulang seperti LRT dan kesesakan lalu lintas.

Khaled juga menegaskan pembaharuan pasport mengambil masa berminggu-minggu lamanya, malah di Tambak Johor, beribu-ribu orang beratur panjang di pusat pemeriksaan sebelah Malaysia.

“Penafian bukan lagi pilihan kepada kerajaan. Barisan Nasional sebagai sebahagian dari kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawab atas semua ini.

“Namun meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri adalah tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan.

“Namun dimana semua Menteri di kala Perdana Menteri berhadapan dengan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab.

“Kepada menteri kewangan, keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi. Keutamaan menteri nampaknya Kuala Selangor,” kata Khaled dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tengku Zafrul yang juga seorang senator dikatakan sedang mengintai kerusi Parlimen Kuala Selangor dan kini lebih kerap menghadiri aktiviti di situ.

Sabtu lepas beliau mencetuskan kekecohan apabila mengumumkan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan,

Tengku Zafrul menganjurkan majlis yang dipanggil Majlis Kenduri Rakyat di Puncak Alam semalam, di mana beliau berkata kementeriannya “mengguna pakai” daerah Kuala Selangor, yang akan membantu memacu pembangunan di kawasan itu.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” kata Tengku Zafrul seperti dipetik Bernama.

Pengumuman itu turut mendapat kritikan setiausaha agung DAP Anthony Loke.

Bekas menteri pengangkutan itu mendakwa penggunaan istilah “daerah angkat” oleh menteri kewangan itu adalah penyalahgunaan kuasa.

“Sepanjang saya menjadi ahli Parlimen sejak 2008, saya tak pernah mendengar ada mana-mana kementerian mengamalkan pendekatan ‘daerah angkat’.

“Sesebuah kementerian perlu merangka dasar dan menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh negara dan bukan mana-mana satu kawasan tertentu,” kata ahli Parlimen Seremban itu.

Aktiviti Tengku Zafrul di kawasan itu juga menimbulkan kemarahan pemimpin Umno tempatan tertentu.

Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim mengadu aktiviti itu “mengganggu” jentera akar umbi di sana.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight Tengku Zafrul mengambil kesempatan ketika Umno dilihat kembali bangkit untuk menuntut kerusi itu.

“Kita dah jaga (kawasan) sejak 2018 hingga 2021, sekarang 2022 dia nak masuk pula. Betul, memang dia nak masuk tapi Umno Bahagian Kuala Selangor menolak 100% kerana dia masuk tiada budi bicara… terus menceroboh, main terjah,” kata Jahaya.

Ketika ini kerusi Kuala Selangor disandang bekas menteri kesihatan dan pemimpin Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Pakar strategi Amanah itu pertama kali menang kerusi Kuala Selangor pada 2008 di bawah PAS sebelum tewas kepada Barisan Nasional pada 2013. Pada 2018, Dzulkefly menang kerusi tersebut sekali lagi selepas menewaskan Umno dan PAS dengan 8,498 undi. – 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen