Zafrul tidak patut salah guna kementerian untuk politik, kata DAP


DAP berpendapat Tengku Zafrul Aziz tidak patut menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memberi kelebihan kepada dirinya untuk bertanding di sesuatu kawasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Aziz tidak patut menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan politik, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke merujuk tindakan Zafrul mengumumkan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, ketika beliau sejak beberapa minggu lalu disebut-sebut sedang mengintai untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Kuala Selangor.

“Sepanjang saya menjadi ahli Parlimen sejak 2008, saya tak pernah mendengar ada mana-mana kementerian mengamalkan pendekatan ‘daerah angkat’.

“Sesebuah kementerian perlu merangka dasar dan menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh negara dan bukan mana-mana satu kawasan tertentu

“Tengku Zafrul tidak patut menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan untuk memberi kelebihan kepada dirinya untuk bertanding dalam sesuatu kawasan,” katanya dalam satu komen di Facebook.

Semalam, dalam majlis Kenduri Rakyat bersama penduduk Kuala Selangor di Eco Grandeur Puncak Alam, Zafrul juga mengumumkan Puncak Alam akan mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL).

Menurut Loke, kelulusan stesen keretapi juga bukan urusan Zafrul sebagai menteri kewangan.

“Kelulusan untuk ‘railway scheme’ adalah di bawah tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya, yang juga bekas menteri pengangkutan pentadbiran Pakatan Harapan. 

Sejak beberapa minggu lalu, Zafrul dilihat aktif terlibat dalam kegiatan Umno dan BN di Kuala Selangor sehingga mencetuskan amaran daripada pimpinan bahagian.

Ketua Bahagian Umno Kuala Selangor Ibrahim Jahaya mengeluarkan arahan kepada pemimpin Umno setempat supaya tidak terlibat dengan program Zafrul.

Beliau dipetik berkata tidak mahu jentera parti diperalatkan untuk mendukung pemimpin luar.

“Kita tidak mahu usaha kita memperkukuhkan parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi sia-sia sahaja,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum Kuala Selangor, Zafrul pernah digembar-gembur mengintai peluang bertanding di Lembah Pantai dan kemudiannya Kuala Pilah tetapi mendapat bantahan pimpinan Umno akar umbi.

Zafrul bagaimanapun berkali-kali berkata beliau “tiada masa” untuk memikirkan tentang politik sebaliknya hanya mahu fokus dengan kerjanya sebagai menteri kewangan.

Zafrul, tokoh perbankan yang dilantik sebagai senator, dibawa menyertai kabinet Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 sebagai menteri kewangan.

Beliau kekal di portfolio itu selepas Muhyiddin letak jawatan dan diganti Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri pada Ogos 2021. – 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen