Tengku Zafrul ganggu jentera Umno Kuala Selangor, kata ketua bahagian


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dikatakan mengintai untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 apabila sering kelihatan dalam program anjuran Umno di kawasan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2022.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengganggu jentera Umno Kuala Selangor apabila cuba menonjolkan dirinya di kawasan Parlimen tersebut, dakwa Ketua Bahagian Jahaya Ibrahim.

Beliau juga mendakwa Tengku Zafrul juga cuba mengambil kesempatan ketika Umno dilihat kembali bangkit selepas hilang kuasa memerintah sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Kita dah jaga (kawasan) sejak 2018 hingga 2021, sekarang 2022 dia nak masuk pula. Betul, memang dia nak masuk tapi Umno Bahagian Kuala Selangor menolak 100% kerana dia masuk tiada budi bicara… terus menceroboh, main terjah.

“Dia mengacau jentera pilihan raya Umno Kuala Selangor,” kata Jahaya, kepada The Malaysian Insight.

Tengku Zafrul dikatakan mengintai untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila sering kelihatan dalam program anjuran Umno di kawasan tersebut.

Beliau sebelum ini dikatakan mencuba nasib di Parlimen Lembah Pantai namun tidak dipersetujui akar umbi parti.

Jahaya berkata, beliau juga sudah membawa perkara itu kepada pengetahuan pimpinan Umno Selangor.

“Dalam mesyuarat perhubungan negeri saya dah maklumkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar, saya menentang (Tengku Zafrul).

“Bukan kerja dia nak mengacau jentera Parlimen Kuala Selangor. Jangan nak mengganggu gugat keadaan yang begitu cantik sebelum ini di Parlimen Kuala Selangor,” katanya.

Jahaya turut mengesahkan beliau mengeluarkan surat kepada semua cawangan Umno di Bahagian Kuala Selangor supaya tidak terlibat dalam penganjuran sebarang bentuk kerjasama dengan Tengku Zafrul.

“Saya keluarkan surat kepada semua cawangan melarang kerjasama dengan Tengku Zafrul, Umno cawangan tak boleh terlibat,” katanya.

Beliau turut memberi amaran sekiranya Tengku Zafrul masih berdegil, pihaknya tidak teragak-agak membawa perkara itu kepada lembaga disiplin Umno.

“Saya mungkin akan membawa perkara ini kepada jawatankuasa disiplin Umno Malaysia, sebab dia mengganggu gugat keadaan yang tenteram dan baik sekarang,” tambahnya.

Tengku Zafrul merupakan ahli Umno berstatus aktif dari cawangan Jalan Travers, yang terletak di Bahagian
 Lembah Pantai sejak 1998.

Jahaya juga tidak menolak terdapat pimpinan Umno Bahagian Kuala Selangor yang bekerjasama dengan Tengku Zafrul menganjurkan program di kawasan itu.

Noh dalam kenyataannya pada 18 Mei lalu tidak melihat sebarang masalah apabila Tengku Zafrul dilihat kerap turun ke Kuala Selangor memandangkan soal pengagihan kerusi belum dimuktamad.

Malah katanya, beliau memerlukan seberapa ramai individu bertaraf menteri untuk membantunya di Selangor.

Naib Ketua Pemuda Umno Amin Shukor pula berkata, persoalan yang timbul adalah sekiranya menteri kewangan itu benar-benar mahu membantu Selangor beliau tidak sepatutnya hanya menumpukan perhatian di Kuala Selangor sahaja.

“Saya tak persoalkan kelayakan dia, persoalannya kenapa dia datang sekarang…kalau Umno tak kuat dia tak datang pun.

“Selangor ada 22 bahagian, kalau nak bantu Umno Selangor, bantulah semua kawasan jangan ada pilih-pilih,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Tambah Amin, pihaknya menjangkakan perkara itu tidak akan menjadi isu sekiranya Tengku Zafrul menggunakan saluran yang betul, sebelum memasuki kawasan tersebut.

“Dia kena masuk cara baik, jumpa tuan tumah, Umno ini ada ketua cawangan, ketua bahagian, kalau dia masuk cara baik mesti boleh selesai. Kita ini manusia,” kata Amin lagi.

Pada PRU14, Parlimen Kuala Selangor dimenangi Pakatan Harapan (PH) melalui calon Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengarah Strategi Amanah itu menang pertama kali kawasan itu pada Pilihan Raya 2008 atas tiket PAS, namun tewas pada 2013 kepada  Irmohizam Ibrahim yang mewakili BN.

Pada 2018, Dr Dzulkefly merampas semula kerusi itu dan seterusnya dilantik sebagai menteri kesihatan kerajaan PH.

Dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini, Dzulkefli bagaimanapun mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu.

Zafrul yang dilantik sebagai senator dibawa menyertai kabinet Muhyiddin Yassin pada Mac 2020.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB itu bagaimanapun kekal di portfolio itu selepas Muhyiddin letak jawatan dan diganti Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Adiknya, Tengku Zuhri Abdul Aziz merupakan timbalan ketua bahagian Umno Lembah Pantai. – 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen