Kalau yakin tiada pengaruh, Umno tak perlu takut Dr Mahathir, kata Mukhriz


Diyana Ibrahim

Pengerusi Bersatu Mukhriz Mahathir hari ini mengatakan jika benar Umno percaya Dr Mahathir tidak lagi berpengaruh mereka tak perlu keluarkan pelbagai ulasan mengenai kawasan yang akan ditandingi bekas perdana menteri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Februari, 2018.

UMNO tidak perlu buat apa-apa ulasan tentang Dr Mahathir Mohamad kalau yakin bekas perdana menteri itu tidak lagi ada pengaruh kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Mukhriz Mahathir.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Umno itu menunjukkan parti itu sebenarnya takut dengan pengerusi Bersatu itu.

“Saya rasa mereka tak perlu takut dengan orang tua usia 92 tahun yang dah nyanyuk, mereka cakap baling batu pun tak pecah gelas.

“Macam- macam kenyataanlah yang mereka keluar sebelum ini,” katanya kepada media selepas meraikan program sambutan Tahun Baru Cina di Alor Setar Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan The Malaysian Insight yang memetik kenyataan Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin semalam.

“Bersatu ini parti merempat, dia tumpang orang sebab hanya Dr Mahathir saja. Kalau biar Mukhriz (memimpin), dah lama hanyut,” kata Shaful yang juga setiausaha politik menteri besar Kedah itu menambah yang PRU14 adalah peluang Umno menghapuskan pengaruh dan hayat politik Dr Mahathir.

Tambah Mukhriz, kenyataan pemimpin Kedah yang tidak konsisten itu juga merupakan satu lagi bukti ketakutan terhadap Dr Mahathir.

Sebagai contoh beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad yang menyatakan Dr Mahathir lebih sesuai bertanding di Kubang Pasu.

“Saya seronok dengan kenyataan tersebut, nampak macam orang Kubang Pasu tak nak Dr Mahathir bertanding situ, Umno Langkawi pun suruh Dr Mahathir bertanding situ.

“Saya rasa ia sebagai manifestasi rasa gerun Umno apabila disebut yang Dr Mahathir akan bertanding di Kedah,” katanya yang juga pengerusi PH Kedah itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan mengenai kesihatan Dr Mahathir.

“Dr Mahathir sudah keluar hospital dan kini sedang berehat. Beliau sampaikan salam dan mohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam program hari ini.

“Ini atas nasihat doktor. Doktor ini ada yang dekat dan jauh, yang dekat (ialah) Tun Hasmah. (Jadi) beliau kena rehat- rehat, sebab kita perlukan beliau dalam PRU (PRU14) kali ini,” katanya yang disambut sorokan ratusan penyokong PH. – 18 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mukhis hidup dalam bidang politik kerana ada bapanya.Perlu di ingat jawatan perdana menteri bukan boleh di warisi dari bapa ke anak,Ia perlu mendapat sokongan padu oleh rakyat di negara ini.walau bagaimana pun tak perlulah di bangga kan denagn Tun M sebab semua sudah tahu kenapa Tun M U-Turn kepada pembangkang ,kerana untuk menaikkan legasi dia supaya mukhis boelh menjadi PM.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan