KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mengugut untuk berarak ke Putrajaya jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna gagal menjawab memorandum berkenaan inflasi bertarikh 1 April.
MTUC menghantar memorandum itu mengesyorkan kepada kementerian supaya sentiasa memantau harga barangan dan perkhidmatan.
“Kita tidak hantar memorandum itu untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi ia untuk pengguna, terutama kelas pekerja supaya tidak terbeban dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terkawal ini,” kata Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan.
“Langkah kita berikutnya ialah berarak dan berhimpun di Putrajaya, jika masih belum menerima jawapan daripada menteri.”
Kamarul berkata kerajaan perlu menangani masalah kenaikan harga barang.
Beliau turut bimbang tentang kemungkinan harga barangan naik hingga 60% bulan depan.
“Walaupun gaji minimum RM1,500 akan meningkatkan kuasa beli, peniaga tidak sepatutnya ambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mengerahkan lebih ramai pegawai penguatkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab. – 24 Mei, 2022.
Komen