Naikkan kadar gaji minimum, bukan tarif elektrik, kata MTUC 


Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan kepada pengguna apabila industri akan meletakkan kos kepada pengguna menyebabkan kenaikan harga barangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2022.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Putrajaya agar menaikkan kadar gaji minimum yang sepatutnya berlaku pada 1 Januari lalu selaras dengan Akta Gaji Minimum yang memerlukan kajian dibuat dua tahun sekali.

Kesatuan itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya terkejut apabila mengetahui kerajaan bukannya mengumumkan gaji minimum baharu, sebaliknya mengumumkan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik.

“Kenaikan tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik akibat surcaj akan menjejaskan kenaikan barangan lain,” katanya.

“Industri akan meletakkan kos kenaikan tarif kepada pengguna dan akhirnya pengguna akan terjejas.”

Minggu lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa tarif elektrik domestik baharu untuk 2022-2024 mungkin akan dikuatkuasakan pada 1 Februari.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menarik balik keputusan itu dan mengumumkan bahawa tidak akan ada sebarang tarif elektrik baharu.

MTUC berkata kedua-dua kenaikan gaji dan tarif akan memberi kesan kepada kelas pertengahan.

Kesatuan itu berkata kenaikan gaji minimum akan membantu, namun kenaikan tarif elektrik akan membebankan golongan ini.

“Bagaimana kerajaan boleh mengekang kenaikan barang sedangkan barangan kawalan seperti minyak masak telah dijual melebihi harga siling,” katanya.

MTUC berkata kerajaan perlu melihat jirannya Singapura, yang mana dilaporkan bahawa gaji pekerja pembersihan boleh mencecah sehingga RM10,000.

“MTUC akan berhubung dengan kesatuan di Singapura untuk membincangkan kaedah terbaik dalam pelaksanaan gaji minimum baharu,” katanya.

Pada Februari 2020, Malaysia telah menaikkan kadar gaji minimumnya.

Gaji minimum dinaikkan daripada RM1,100 sebulan kepada RM1,200. Sementara itu, kadar bagi pekerja yang mendapat kadar sejam meningkat daripada RM5.29 kepada RM5.77.

Selain itu, MTUC berkata ia prihatin dengan isu pekerja lain seperti buruh paksa, pindaan Akta Pekerjaan, serta isu mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan sudah setahun tidak diadakan.

Kesatuan itu berkata pihaknya telah menghantar surat kepada PM untuk terlibat dalam perbincangan mengenai perkara-perkara yang mendesak ini. – 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen