Industri berbelah bahagi janji Putrajaya wujudkan 500,000 pekerjaan


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan perlu mengusir Pati dan menggantikan dengan rakyat Malaysia sendiri, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2020.

PEMAIN industri berbelah bahagi dengan janji Putrajaya untuk menjana 500,000 pekerjaan tahun hadapan menerusi Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja).

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menganggap inisiatif itu tidak realistik, sementara Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata sasaran itu boleh dicapai.

Presiden kesatuan sekerja Abdul Halim Mansor berkata, janji itu tidak realistik memandangkan kadar pengangguran yang tinggi di negara ini.

“Kami mempunyai (hampir) satu juta orang yang tidak bekerja pada masa ini. Adakah awak fikir itu boleh jadi?” soalnya.

Selain mereka yang kehilangan kerja, akan ada juga lulusan baharu dan lepasan sekolah yang akan turut mencari peluang pekerjaan.

Menurut Jabatan Statistik, kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020.

Jumlah penganggur meningkat 1.5% kepada 748,200 orang pada Oktober berbanding September 2020.

Abdul Halim juga berkata, beberapa syarikat belum beroperasi secara menyeluruh kerana pelbagai tahap perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, peluang lebih rendah untuk menciptakan pekerjaan baharu.

Katanya, kerajaan perlu mengusir pendatang asing tanpa izin dan menggantikan dengan rakyat Malaysia sendiri.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Shamsuddin Bardan optimis sasaran itu dapat dicapai sekiranya keadaan ekonomi bertambah baik.

Beliau berkata, majikan akan cenderung untuk mengambil pekerja sekiranya keadaan ekonomi menguntungkan.

“Dengan jumlah insentif yang diberikan, ini akan mendorong lebih ramai majikan untuk menciptakan lebih banyak pekerjaan dan dalam masa sama kerajaan turut berusaha membantu penganggur untuk bekerja secara kontrak jangka pendek dengan agensi kerajaan dan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan,” katanya.

Tambah Shamsuddin, keadaan ekonomi yang mencabar dijangka berterusan sehingga separuh pertama tahun depan.

Ujarnya lagi, keyakinan pengguna yang terpukul dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat tetap menjadi cabaran bagi industri.

Selain itu Shamsuddin berkata, perlu untuk membuka kembali sempadan bagi menyegarkan kembali sektor pelancongan.

Sementara itu, pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, salah satu cara untuk mempertahankan industri dan melindungi pekerjaan adalah dengan memperluas program subsidi gaji untuk jangka masa yang lebih lama dan merangkumi semua sektor.

“Jadi, awak benarkan syarikat bertahan kerana mereka menggajikan orang. Pada masa sama, awak juga mahu orang ada wang tunai supaya mereka boleh berbelanja,” jelas pengarah urusan DM Analytics itu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah skim JanaKerja.

Skim itu akan merangkumi pelbagai program dan latihan bertujuan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan mulai tahun hadapan. – 14 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen