Najib soal kembali, bila mahu PRU14?


Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Najib Razak masih berteka teki tentang tarikh PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Februari, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak masih berteka-teki dengan mengenai tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Ketika ditanya mengenai tarikh untuk pilihan raya tersebut hari ini, beliau membalas kembali dengan soalan.

“Bila you mau?” tanya Najib apabila disoal pemberita mengenai tarikh pilihan raya yang perlu dilangsungkan tahun ini.

Najib ditemui pemberita ketika menghadiri sambutan Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di Ampang, Kuala Lumpur hari ini. 

Awal bulan ini, Najib membayangkan pilihan raya akan diadakan sebelum umat Islam menunaikan haji pada Julai. 

Bagaimanapun, penganalisis politik meramalkan penentuan tarikh PRU14 itu bergantung kepada sejauh mana Barisan Nasional (BN) percaya proses persempadanan semula yang sedang berjalan sekarang dapat membantunya mendapatkan semula majoriti dua pertiga yang hilang sejak dua pemilihan lalu.

Sebanyak 128 daripada 222 kawasan pilihan raya Parlimen akan dirombak dalam cadangan persempadanan semula yang akan terpakai selepas diluluskan Parlimen.

Pengkritik mendakwa persempadanan semula itu akan memberi kelebihan pada BN, terutamanya di Selangor, negeri terkaya di Malaysia yang diperintah oleh pembangkang persekutuan sejak 2008. 

Jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum 24 Jun, ia akan terbubar dengan sendiri dan pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari iaitu sebelum akhir Ogos. – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tak ada yg mustahil utk BN capai kemenangan pada PRU14 ni kalau semuanya berusaha tanpa jemu utk kembalikan keyakinan rakyat. semangat utk membela nasib rakyat tu perlu sentiasa ada dalam diri seseorang pemimpin

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Najib mana ada teloq nk adakan pilihanraya?

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan