Sempadan baru kawasan pilihan raya di Selangor beri kelebihan kepada BN


Gan Pei Ling

BARISAN Nasional dijangka menang di kebanyakan kerusi di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas persempadan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata badan pemikir kerajaan negeri, Institut Darul Ehsan (IDE).

Pengarah Eksekutif IDE, Profesor Dr Mohamaad Redzuan Othman berkata BN dijangka menang di 20 kerusi, PAS di sembilan kerusi, DAP (15) dan PKR (12).

“Persempadanan semula oleh SPR di Selangor memihak kepada BN,” kata Redzuan di Shah Alam hari ini.

Walaupun 20 kerusi milik BN tidak mencukupi untuknya membentuk kerajaan negeri secara sendirian, perpisahan PAS daripada pembangkang dan hubungannya yang bertambah baik dengan Umno boleh membantu BN kembali berkuasa di Selangor.

Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) mempunyai 29 Adun di Selangor, PAS pula 13 dan BN mempunyai 12 Adun, sementara dua lagi adalah Adun bebas.

Kerusi PH disumbang oleh DAP (14), PKR (13) dan Amanah dengan dua kerusi.

BN tewas di Selangor kepada Pakatan Rakyat-yang kini telah bubar- pada PRU12, apabila hanya menang 20 daripada 56 kerusi negeri.

Pada 2013, BN berdepan kekalahan kedua apabila hilang lapan lagi kerusi yang membolehkan Pakatan Rakyat menang dua pertiga majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). 

46 kerusi di Selangor akan terjejas dengan persempadanan semula sekiranya ia diluluskan Parlimen, kata Redzuan.

Kesannya, badan pemikir kerajaan Selangor itu menjangkakan yang lapan kerusi seperti Hulu Kelang milik Amanah dan Paya Jaras yang kini dipegang PAS berkemungkinan jatuh kepada BN.

Empat lagi kerusi, seperti Sementa yang kini milik PKR, mungkin masih tetap dimenangi parti itu tetapi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

27 kerusi lain, seperti Jeram (BN) dan Seri Andalas (PKR) juga mungkin tidak akan berubah tetapi kemenangannya hanya dalam majoriti 1,000 hingga 5,000 undi sahaja.

Menurut Redzuan lagi, 17 kubu kuat pembangkang seperti Bukit Lanjan (PKR) dan Kinrara (DAP) pula akan menyaksikan peningkatan majoriti melebihi 10,000 undi.

10 kerusi yang tidak terlibat dalam persempadanan semula itu terletak di kawasan luar bandar.

Lima dipegang oleh BN (Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Dengkil), tiga milik DAP (Sekinchan, Kuala Kubu Bharu dan Sungai Pelek), dan dua lagi merupakan kawasan PAS (Sabak dan Tanjong Sepat).

Redzuan berkata ahli politik pembangkang perlu mengubah strategi mereka bagi menangani kelebihan diperolehi BN kesan daripada persempadanan semula itu.

“Adun Seri Andalas, Dr Xavier (Jayakumar) perlu masuk kawasan orang Melayu dan melawat surau dengan lebih kerap,” katanya.

Persempadanan semula akan menyaksikan perubahan komposisi pengundi Seri Andalas daripada 41% Melayu, 25% Cina, 33% India kepada 74% Melayu, 12% Cina dan 14% pengundi India.

SPR mengadakan pendengaran awam persempadanan semula minggu lepas walaupun menerima bantahan banyak pihak kerana dibuat ketika musim cuti hujung tahun.

Pakatan Harapan percaya sebaik sahaja SPR menyiapkan pendengaran awam, BN akan mengadakan sesi persidangan khas Parlimen bagi meluluskan cadangan persempadangan semula itu sebelum PRU14 yang dijadualkan berlangsung sebelum atau pada Ogos depan. – 3 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • persempadanan semula ini memberi kelebihan kepada semua pihak..bukannya hanya sebelah pihak saja..jd jgn nak menuduh spr berat sebelah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan