KES buli di hospital kerajaan sudah menjadi budaya yang kronik, kata kumpulan Hartal Doktor Kontrak, sekaligus menolak dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hanya sebilangan kecil kes serius membabitkan doktor muda.
Wakilnya Dr Omar Shahala berkata dakwaan MMA ‘mengarut’, sambil menambah perbuatan membuli adalah masalah sistemik di hospital kerajaan.
“Itu (komen MMA) mengarut. Apa yang kita tahu hanya di luaran, mereka perlu selidik lebih mendalam.
“Doktor muda dibuli dari segi mental dan fizikal. Buli fizikal bermaksud bekerja lebih masa, kerja sehingga 1 pagi dan datang semula pada 5 pagi (untuk bekerja). Ini sudah jadi kebiasaan.
“Bagaimanapun, buli mental lebih berbahaya. Ia mematahkan semangat, malah ada seorang (doktor muda) terjun dari bangunan.
“Ini bukan tentang kaum atau sebagainya, tetapi budaya di hospital. Sistem ini bersifat toksik. Doktor senior tidak berhati perut, tak berperikemanusiaan melayan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Omar berkata beliau menyedari kes buli melibatkan kira-kira 30 doktor muda yang didera oleh pihak atasan.
“Ramai. (Doktor senior) yang hampir bersara, pihak atasan dan perunding – mereka semua ‘dinosaur’. Mereka bawa budaya lama (ketika buli adalah perkara biasa) kepada doktor generasi baharu,” katanya.
Dalam sidang media pada Selasa, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata tidak banyak kes buli serius dalam kalangan pegawai dan doktor pelatih.
Koh menambah bahawa laporan buli baru-baru ini tidak seharusnya disalah tafsir kerana laporan sering memetik kes-kes lepas, seolah-olah ia kerap berlaku.
__full.jpg)
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP P Ramasamy berkata MMA tidak melihat realiti yang sedang berlaku dengan memperkecilkan kes buli.
Sudah tiba masanya Malaysia belajar daripada hospital luar negara, katanya.
“Budaya mereka berbeza, mereka memahami perlunya keseimbangan antara hidup dan kerja.
“Doktor di Malaysia sering beritahu pesakit di sini tentang keperluan untuk seimbangkan kerja dan kehidupan, tetapi mereka sendiri tidak amalkan apa yang mereka sampaikan.”
Selepas dikritik ekoran kenyataannya yang mendakwa hanya terdapat segelintir kes buli yang serius di negara ini, MMA petang semalam berkata ia tidak pernah membenarkan sebarang bentuk buli.
Tidak adil menuduh persatuan itu meremehkan kes buli doktor muda adalah tidak adil, kata Koh.
“MMA mengulangi pendirian bahawa ia tidak membenarkan sebarang bentuk buli.
“Apa yang kami katakan ialah sudah tiba masanya buli ditakrifkan dengan betul supaya dapat mengenal pasti kes buli sebenar untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas pelakunya,” kata Koh dalam satu kenyataan.
“Semua kes buli perlu dilaporkan supaya tindakan boleh diambil. Walaupun banyak didedahkan di media sosial, hanya sedikit yang benar-benar dilaporkan, tidak bermakna hanya beberapa kes sahaja berlaku.
“Ia mungkin hanya sedikit daripada banyak kes dan sememangnya membimbangkan. Mereka yang dibuli juga tidak boleh berdiam diri,” tambah Koh.

Mengulas lanjut isu buli doktor muda, Omar berkata sukar untuk mengubah budaya buruk ini.
“Mereka (doktor senior) tidak boleh disentuh kerana kerajaan memerlukan mereka.
“Jika mereka meletakkan jawatan, siapa yang akan ganti mereka? Malah ada antara mereka yang terbabit dengan parti politik,” katanya.
Omar berkata sebagai persatuan yang memperjuangkan hak doktor, MMA sepatutnya bertindak lebih efektif.
“Inilah sebabnya Hartal menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter supaya isu buli ini dapat disebarkan. Apabila tersebar, barulah ada yang akan mengambil berat,” katanya.
Sejak dua minggu lalu selepas kematian doktor pelatih di Pulau Pinang, Hartal Doktor Kontrak telah berkongsi pengalaman yang dihadapi doktor muda di pelbagai saluran media sosial mereka.
Berdasarkan catatan di media sosial mereka, buli dan juga gangguan seksual telah dilaporkan di hospital-hospital di Lembah Klang, Pantai Timur dan Sabah.
Hartal Doktor Kontrak menggalakkan doktor muda membawa perakam suara untuk merakam sebarang kejadian buli atau gangguan yang dihadapi mereka.
“Oleh kerana pemimpin kami keberatan untuk membantu pengganti mereka sendiri, kami perlu berjuang untuk diri kami sendiri,” kata kumpulan itu.
Kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini mendedahkan isu buli dalam kalangan doktor muda.
Doktor pelatih berkenaan dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya pada 17 April lalu, hanya tiga minggu selepas ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.
Susulan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya akan membentuk satu pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes tersebut.
Unit itu juga akan menyiasat dakwaan buli di kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan, katanya. – 12 Mei, 2022.
Komen